Microsoft mula menamatkan sokongan pengedaran untuk pemacu (driver) pencetak legasi jenis v3 dan v4 melalui Windows Update bermula Januari 2026.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka masa panjang syarikat untuk memodenkan sistem pencetakan pada Windows 11. Ia juga bagi mengurangkan risiko keselamatan yang sering dikaitkan dengan perisian lama.

Perubahan ini memberi kesan secara langsung kepada pengguna yang masih bergantung pada perkakasan pencetak model lama tanpa sokongan pemacu moden.

Langkah penamatan ini tidak bermakna pencetak lama akan berhenti berfungsi serta-merta. Sebaliknya ia mengubah cara bagaimana pemacu dipasang dan dikemaskini.

Bermula pertengahan Januari 2026, Microsoft tidak lagi membenarkan pengeluar pencetak menerbitkan pemacu v3 dan v4 baharu ke Windows Update.

Ini memaksa industri beralih kepada standard pencetakan moden seperti Mopria dan Internet Printing Protocol (IPP) yang tidak memerlukan pemasangan pemacu khusus pengeluar yang rumit.

Peralihan ini dilaksanakan secara berperingkat untuk meminimumkan gangguan kepada pengguna.

Berdasarkan jadual pelaksanaan, selepas fasa pertama pada Januari 2026, Windows akan mula memberi keutamaan kepada pemacu kelas IPP Microsoft (inbox class driver) bermula Julai 2026. Menjelang Julai 2027, kemaskini pemacu pihak ketiga akan dihadkan kepada pembaikan keselamatan sahaja tanpa sebarang ciri baharu dibenarkan.

Microsoft menasihatkan pengguna yang terkesan melakukan tindakan segera bagi memastikan kelangsungan operasi peranti. Pengguna diminta menghubungi pengeluar pencetak untuk kemaskini pemacu pencetak yang disokong.

Garis masa pelaksanaan

Spesifikasi dan Garis Masa Penamatan:

  • Januari 2026: Tiada pemacu legasi (v3/v4) baharu akan diterbitkan ke Windows Update. Pemasangan baharu untuk pencetak lama mungkin gagal jika tiada pemacu moden tersedia.
  • Julai 2026: Windows akan mengutamakan penggunaan pemacu Microsoft IPP Class Driver secara automatik.
  • Julai 2027: Pemacu pihak ketiga sedia ada tidak lagi dibenarkan menerima kemaskini ciri, hanya tampalan keselamatan (security fixes).

Langkah Microsoft ini dilihat sebagai usaha drastik. Namun perlu dilakukan untuk menyeragamkan ekosistem pencetakan yang selama ini terpecah dengan ribuan pemacu proprietari yang sukar diselenggara.

Walaupun pengguna dengan perkakasan sedia ada mungkin tidak mengalami gangguan serta-merta, organisasi dan pengguna individu disaran untuk beralih kepada peranti yang menyokong teknologi IPP atau Mopria bagi memastikan keserasian masa hadapan dengan Windows 11.

Tinggalkan komentar