Tiada permainan lain yang paling mendominasi waktu senggang selain dari Microsoft Solitaire sejak ianya diperkenalkan di Windows 3.0 pada tahun 1990. Ianya telah menjadi permainan pilihan mengisi masa terluang selama hampir tiga dekad dan kini, kedudukan permainan ini telah diiktiraf sebagai antara permainan di dalam World Video Game Hall of Fame.
Baru-baru ini, The Strong National Museum of Play secara rasminya telah mengumumkan permainan-permainan yang diiktiraf di dalam World Video Game Hall of Fame 2019. Selain dari Microsoft Solitaire, turut disenaraikan permainan Super Mario Kart, Mortal Kombat sebuah permainan komputer berasaskan teks tahun 1976, Colossal Cave Adventure.
Mortal Kombat dan Super Mario Kart kedua-duanya mempunyai pengaruhnya yang tersendiri di dalam genre masing-masing. Super Mario Kart merupakan permainan perlumbaan yang unik berbanding permainan perlumbaan lain kerana ianya mementingkan elemen keseronokan seperti penggunaan senjata aneh untuk memenangi perlumbaan.
Manakala Mortal Kombat pula, ianya lebih dikenali kerana elemen keganasan melampau yang dipamerkan dalam ciri permainannya. Selain itu, permainan ini juga menjadi salah satu punca mengapa Entertainment Software Rating Board (ESRB) telah diwujudkan pada tahun 1994.
Berbalik kepada Solitaire, Microsoft mendakwa permainan ini telah dimainkan sebanyak 35 billion kali setiap tahun melalui sistem operasinya. Bagaimanapun, tidak diketahui berapa ramai pemain-pemainnya yang benar-benar menikmati permainan ini.
Sumber berita diperoleh dari Engadget













