Microsoft ingin memberikan komitmen penuh di dalam ekosistem Linux dengan menyertai senarai Pembangun Keselamatan Linux. Sebelum ini Microsoft telah banyak melabur dalam pembangunan mengintegrasikan kedua-dua sistem komputer ini.

Melalui penyertaan ini, Microsoft bakal melibatkan diri dalam usahasama yang lebih erat serta maklumat-maklumat sumber dalaman yang tidak dihebahkan kepada umum dan memberi sumbangan dalam pembaikan terhadap sebarang ralat. Antara organisasi utama yang menyertai agihan tertutup Linux termasuklah Canonical, Debian, Red Hat, SUSE, Oracle dan sebagainya.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh ZDNet, salah seorang pembangun kernel Microsoft Linux, Sasha Levin, telah membuat permohonan akses Microsoft ke senarai pembangun Linux sebagai sebahagian daripada semua pelaburan yang dibuat oleh gergasi perisian ini ke dalam ekosistem Linux, seperti Windows Subsystem for Linux (WSL), Azure Sphere, dan Azure Kubernetes.

Windows Subsystem for Linux (WSL) kini telah mencapai generasi kedua dan membenarkan pengguna menjalankan Linux di atas Windows 10.

Keputusan sama ada permohonan penyertaan Microsoft ke komuniti pembangun Linux ini diluluskan atau tidak bagaimanapun tidak diumumkan dalam masa yang terdekat ini.

Setakat ini, Microsoft telah menerima sokongan dari beberapa pembangun Linux yang terkenal, termasuk Greg Kroah-Hartman, penyelenggara kernel Linux stabil. Manakala Tyler Hicks, jurutera kernel Canonical Linux, turut menyokong usaha Microsoft di dalam ekosistem Linux.

Sumber berita diperoleh dari ZDNet

Tinggalkan komentar