Microsoft melancarkan koleksi pakaian baharu yang dikenali sebagai “Hardwear” yang turut menampilkan rekaan baju dengan imej latar belakang Windows XP. Anda kini boleh menggayakan baju berkenaan pada harga $60 (~RM269).
Koleksi yang merangkumi baju, topi, baju panas (sweater), jaket dan seluar ini merupakan kolaborasi di antara pengasas Supervsn, Gavin Mathieu dan Microsoft.
Ia merupakan koleksi nostalgia Microsoft yang merangkumi pakaian dan barang dagangan (merchandise). Langkah ini juga dilihat sebagai ke arah menjadikan gaya ‘nerd’ yang lebih trendy.
Menurut Pengarah Berbilang Budaya dan Komunikasi Sosial Microsoft, Amanda O’Neal, koleksi ini merupakan cerminan kepada gaya Normcore, satu estetika yang menumpukan pada individu dan bukan pada pakaian yang dipakainya.
Turut diketengahkan di dalam rekaan fesyen ini termasuklah baju MS Paint yang diilhamkan dari palet warna asal di dalam aplikasi berkenaan. Selain itu, topi “Hardwear” pula menampilkan warna-warna dari logo Microsoft era 90’an.
Ini bukanlah kali pertama percubaan Microsoft dengan fesyen pakaian. Sebelum ini Microsoft pernah menjual pakaian berjenama Xbox, selain turut menjual pelbagai jenis pakaian di kedai-kedai miliknya. Malah, pada tahun 2020 Microsoft mula menjual baju sejuk bertemakan Windows yang merangkumi MS Paint, Windows XP, Windows 95 dan juga Minesweeper.
Whatchu know about Minesweeper? #UglyChristmasSweater #WindowsUglySweater pic.twitter.com/nWnn42uyw2
— Marques Brownlee (@MKBHD) November 29, 2021