Bagi anda yang masih lagi menggunakan komputer Windows 7, Microsoft baru-baru ini telah menerbitkan kemaskini khusus untuknya. Antaranya termasuklah notifikasi terpacul yang memaklumkan pengguna bahawa sokongan untuk Windows 7 akan ditamatkan tidak lama lagi.
Microsoft secara rasminya menamatkan sokongan untuk Windows 7 pada 14 Januari 2020 termasuk sokongan untuk kemaskini keselamatan. Tujuan galakan naik taraf ini dikeluarkan adalah untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan sistem komputer pengguna, menurut Microsoft.
Notifikasi naik taraf ini turut menyediakan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menaik taraf ke Windows 10. Bagaimanapun, berbeza dengan notifikasi naik taraf ke Windows 10 dahulu, kali ini Microsoft menyediakan kotak “Do not remind me again” untuk membolehkan pengguna melumpuhkan notifikasi berkenaan.
Sejumlah 800 juta pengguna telah melaksanakan pemasangan Windows 10 dan angka ini telah melepasi jumlah pengguna Windows 7 semasa. Angka bilangan pengguna Windows 10 ini dijangkakan semakin bertambah berdasarkan keadaan Windows 7 yang akan ditamatkan sokongannya tidak berapa lama lagi.
Sumber berita diperoleh dari The Verge













