Telefon pintar Xiaomi siri CC telah dilancarkan dengan model-model keluaran pertamanya, Mi CC9, Mi CC9e dan Mi CC9 Meitu Edition diperkenalkan buat julung kalinya. Telefon-telefon pintar ini dibezakan pada beberapa ciri spesifikasi, namun secara keseluruhannya memfokuskan pada fotografi.
Mi CC9
Xiaomi Mi CC9 menawarkan spesifikasi yang agak seimbang dengan menawarkan paparan Super AMOLED 6.39-inci, cipset Snapdragon 710 dan tetapan tri-kamera. Menurut Xiaomi, kamera swafoto 32MP f/2.0 yang ditawarkan oleh telefon pintar ini merupakan yang terbaik bagi peranti yang setara dengannya.
Paparan beresolusi 1080 x 2340 piksel yang ditawarkannya menampilkan satu takuk berbentuk titisan air yang menempatkan kamera swafoto di atasnya bersama-sama pengimbas cap jari UD. Telefon pintar ini juga bakal memperkenalkan ciri terbaru avatar beranimasi Mimoji dan mod fotografi potret berkuasa AI untuk mengambil gambar dalam keadaaan kurang pencahayaan.
Mi CC9 menampilkan rekaan dwi-glass pada permukaan hadapan dan belakangnya dengan kerangka logam di tengah-tengahnya. Ia mempunyai berat 179g dengan ketebalan 8.67mm.
Kamera utamanya menempatkan tetapan tri-kamera iaitu – 48MP f/1.8, 8MP lensa ultra lebar dan lensa penderia kedalaman 2MP. Cipset Snapdragon telefon pintar ini digandingkan dengan pilihan RAM 6GB atau 8GB bersama-sama pilihan storan 64GB atau 128GB yang boleh diperluaskan lagi melalui slot kad mikroSD.
Telefon pintar yang menggunakan antaramuka MIUI 10 berasaskan Android Pie ini hadir dengan bateri berkapasiti 4,030mAh yang menyokong pengecasan pantas 18W. Tidak ketinggalan, bicu audio 3.5mm, NFC dan port IR turut disediakan untuknya.
Xiaomi Mi CC9 akan dibuka untuk pra-tempahan di pasaran China bermula 5 Julai ini dengan pilihan warna Putih, Biru dan Hitam. Harga yang ditawarkan bermula dari CNY1,799 (RM1,076) untuk pilihan 6GB/64GB dan CNY1,999 (RM1,200) untuk pilihan 8GB/128GB.
Mi CC9e
Seterusnya, CC9e hadir fungsi-fungsi utama yang sama CC9 namun dibezakan pada bentuk faktor yang lebih kecil. Sebagai contoh, kamera swafoto yang ditawarkan oleh telefon pintar ini adalah sama tetapi paparannya telah dikecilkan kepada 6-inci dengan resolusi 1560 x 720 piksel. Paparan AMOLED, penderia cap jari UD dan kapasiti bateri juga tetap sama.
Perbezaan ketara pada model ini adalah penggunaan cipsetnya yang mana ianya menggunakan Snapdragon 665. Untuk model, pilihan yang ditawarkan untuk variasinya terdiri daripada 4GB/64GB, 6GB/64GB dan 6GB/128GB dengan harga yang ditawarkan bermula dari CNY1,299 (RM782) hingga CNY1,599 (RM960).
Mi CC9 Meitu Edition
Terakhir sekali, Mi CC9 Meitu Edition. Menampilkan spesifikasi yang sama dengan CC9, namun dibezakan pada fungsi kameranya yang telah diubahsuai oleh pasukan Meitu yang diambil alih oleh Xiaomi lewat tahun lepas.
Telefon pintar ini mengkhususkan pada penggiat-penggiat video (vlogger) dengan memberikan kelebihan mod potret dalam keadaan kurang pencahayaan berkuasa AI, mod potret untuk video, penuras kecantikan untuk keseluruhan tubuh badan dan tidak ketinggalan, mod khusus vlog dengan penstabil video.
Lain-lain spesifikasi untuk model ini adalah sama dengan CC9 dengan kapasiti RAM yang ditawarkan adalah 8GB dengan storannya 256GB. Xiaomi Mi CC9 Meitu Edition ditawarkan pada harga CNY2,599 (RM1,565) dengan warna unik ‘Putih Mutiara’.
Sumber berita diperoleh dari Mi Blog













