Gergasi media sosial Meta telah mengumumkan pelancaran ‘Akaun Remaja’ (Teen Accounts) bagi platform Facebook dan Messenger di seluruh dunia, termasuk Malaysia, sebagai langkah mempertingkat keselamatan para belia di alam maya.

Ciri keselamatan baharu ini sebelum ini hanya terhad kepada remaja berusia bawah 16 tahun di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada, sebelum Meta memperluaskannya secara global. Syarikat itu turut telah melaksanakan inisiatif serupa di Instagram pada September tahun lalu.

Menurut pengumuman Meta, remaja berusia 16 tahun ke bawah kini akan diletakkan secara automatik dalam Akaun Remaja dan memerlukan kebenaran ibu bapa untuk mengubah sebarang tetapan privasi. Langkah ini bertujuan mengehadkan pendedahan kandungan tidak sesuai serta hubungan dengan individu yang tidak diingini.

“Remaja hanya akan menerima mesej daripada individu yang mereka ikuti atau pernah berinteraksi sebelum ini,” kata Meta dalam kenyataannya. Selain itu, hanya rakan-rakan sahaja yang boleh melihat dan membalas ‘stories’ mereka, termasuk tanda nama dan sebutan.

Antara ciri utama lain ialah pengguna remaja akan menerima peringatan untuk berehat selepas satu jam penggunaan dan diletakkan dalam ‘mod senyap’ secara automatik pada waktu malam.

Program Kerjasama Sekolah

Sejajar dengan pelancaran ini, Meta turut memperkenalkan Program Perkongsian Sekolah di Instagram yang membolehkan pendidik melaporkan kebimbangan keselamatan terus kepada syarikat itu untuk semakan segera. Sekolah rakan kongsi akan diberi keutamaan dengan jaminan tindakan dalam tempoh 48 jam serta menerima lencana khas pada profil Instagram sebagai pengesahan rasmi.

Langkah ini menjadikan Meta platform terkini yang menguatkuasakan skim perlindungan kanak-kanak lebih ketat, menyusuli jejak platform seperti TikTok. Walaupun Meta tidak menyatakan tarikh tepat pelaksanaan penuh ciri ini, ia dijangka berlaku tidak lama lagi.

Tinggalkan komentar