Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, dilaporkan telah menjana keuntungan sebanyak USD16 bilion (kira-kira RM66 bilion) pada tahun lalu melalui iklan berunsur penipuan (scam) di platformnya.
Menurut laporan dalaman yang didedahkan, keuntungan ini kemudiannya disalurkan untuk membiayai pembangunan dan penyelidikan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) syarikat tersebut.
Berdasarkan dokumen dalaman Meta bertarikh Disember 2024, syarikat berkenaan menganggarkan 10% daripada jumlah pendapatan tahunan datangnya daripada iklan-iklan penipuan. Antara iklan-iklan penipuan yang dikenal pasti termasuklah perjudian haram, skim pelaburan palsu, dan penjualan produk perubatan yang dilarang. Dianggarkan sebanyak 15 bilion iklan yang jelas berunsur penipuan dipaparkan kepada pengguna setiap hari.
Siasatan mendapati Meta mempunyai sistem dalaman untuk menapis iklan yang mencurigakan. Walau bagaimanapun, syarikat itu didakwa hanya akan menyekat akaun pengiklan jika ia 95% pasti bahawa akaun tersebut melakukan penipuan.
Bagi iklan yang kurang pasti, Meta sebaliknya akan mengenakan kadar bayaran yang lebih tinggi, satu tindakan yang menyumbang terus kepada keuntungan syarikat sekiranya pengiklan bersetuju untuk membayar.
Menurut Sandeep Abraham, pemeriksa penipuan dan bekas penyiasat keselamatan Meta, penerimaan pendapatan daripada sumber yang mencurigakan oleh Meta menunjukkan kurangnya pengawasan kawal selia dalam industri pengiklanan.
134 juta iklan palsu telah dibanteras di platform Meta
Dalam satu kenyataan balas, jurucakap Meta, Andy Stone, menyangkal dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa dokumen yang dirujuk memberikan “pandangan terpilih yang memesongkan pendekatan Meta terhadap penipuan”.
Stone menambah bahawa angka sebenar adalah lebih rendah kerana anggaran awal turut merangkumi banyak iklan yang sah, namun tidak memberikan angka yang tepat. Beliau juga menegaskan bahawa Meta telah berjaya mengurangkan laporan pengguna mengenai iklan scam sebanyak 58% dan membuang lebih 134 juta iklan palsu daripada platformnya.
Isu ini turut mendapat perhatian di Malaysia, di mana Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebelum ini pernah menegur Meta dan platform media sosial lain kerana kurang proaktif dalam menangani kandungan berbahaya dan aktiviti penipuan. Sebagai tindak balas, kerajaan Malaysia sedang mengkaji pelaksanaan sistem verifikasi pengguna elektronik (eKYC) untuk melindungi kanak-kanak dan membendung jenayah dalam talian.













