Peguam Negeri Texas, Ken Paxton telah menyaman Meta atas penggunaan teknologi pengecaman wajah. Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah Negeri tersebut mendakwa sistem tag pada foto di dalam Facebook melanggar Akta Tangkapan atau Penggunaan Pengecaman Biometrik Texas (Capture or Use of Biometric Identifier, CUBI).

Akta tersebut telah dimaktubkan pada 2009 dan memerlukan pemakluman kebenaran sebelum pengumpulan data biometrik seperti geometri wajah.

Saman tersebut mendakwa Facebook mengimbas foto pengguna tanpa keizinan. Platform media sosial berkenaan juga didakwa cuba menyorokkan hakikat bahawa sistem tersebut secara automatik mengumpulkan data biometrik pengguna secara besar-besaran.

Dakwaan yang sama juga pernah digunakan terhadap imbasan yang digunakan oleh Instagram untuk tujuan pengecaman wajah. Saman tersebut menyatakan tindakan tersebut bercanggah dengan kenyataan yang ditulis di dalam perjanjian persetujuan pengguna.

Atas sebab itu, Pejabat Pendakwa Raya Texas mendakwa “Meta telah mengambil pengecaman biometrik jutaan rakyat Texas tanpa keizinan untuk tujuan komersil dan gagal memusnahkan dalam tempoh yang sewajarnya,”

Saman tersebut mengenakan sebanyak $25,000 (~RM104,000) bagi denda sivil bagi setiap pelanggaran Akta CUBI. Serta tambahan $10,000 (~RM41,850) lagi bagi setiap pelanggaran Akta Amalan Perdagangan Mengelirukan. Akhbar The Wall Street Journal melaporkan keseluruhan denda ini mampu mencapai ratusan billion Dollar US.

Texas merupakan salah satu dari beberapa buah negeri seperti Illinois dan Washington yang mempunyai undang-undang biometrik sendiri. Pada awal 2021, hakim di Illinois telah memerintahkan Facebook membayar saman sebanyak $650 juta atas kesalahan penggunaan teknologi tersebut.

Rentetan dari kes tersebut, Meta telah menamatkan sistem men’tag’ foto secara automatik pada Facebook.

Tinggalkan komentar