Semua penyedia perkhidmatan permesejan internet dan media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia akan dianggap secara automatik sebagai pemegang Lesen Kelas Penyedia Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), langkah ini adalah selaras dengan pelaksanaan peruntukan anggapan (deeming) di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.​

Langkah ini bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan peraturan negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

MCMC dalam satu kenyataan menyatakan pendekatan ini selaras dengan kerangka pelesenan bagi penyedia perkhidmatan mesej internet dan media sosial yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2025. Ia bertujuan mengukuhkan akauntabiliti dan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.​

Peruntukan anggapan ini juga bagi memastikan semua platform yang berkaitan mengambil tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna. Terutamanya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga. Pelaksanaan ini akan melibatkan beberapa platform utama, termasuk:​

  • WhatsApp
  • Telegram
  • Facebook
  • Instagram
  • TikTok
  • YouTube

Bagi penyedia perkhidmatan yang sudah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C), pendaftaran sedia ada mereka akan kekal. Peruntukan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tamat tempoh pendaftaran mereka.​

MCMC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan yang terjejas akan terus beroperasi seperti biasa melalui platform global masing-masing.

Pendekatan ini adalah konsisten dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar. MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian untuk manfaat semua pengguna di Malaysia.

Tinggalkan komentar