Maxis baru sahaja memperkenalkan pelan internet jalur lebar gentian berkelajuan tinggi pada harga 65 peratus lebih rendah. Dijadualkan akan bermula pada 13 September ini, pelan terbaru ini menawarkan pakej berkelajuan sehingga 100Mbps pada kadar RM 129 sebulan.
Syarikat telco ‘berwarna hijau’ berkenaan memperkenalkan dua pakej terbaru untuk pengguna di rumah, iaitu; 30Mbps untuk RM89 sebulan, dan 100Mbps untuk RM129. Sebagai perbandingan, pakej paling bajet yang ditawarkan oleh Maxis setakat ini adalah 10Mbps untuk RM 119 sebulan. Jauh betul beza dari segi harga dan juga kadar kelajuan yang ditawarkan.
Bagi pelanggan perniagaan pula, Maxis menawarkan 30 Mbps dengan kadar RM 99 sebulan. Manakala, 100 Mbps pula kadar yang ditawarkan adalah RM 139 sebulan. Mahal sikit, tapi masih dikira OK.


Bagi pelanggan Maxis, anda boleh mendaftar untuk pelan ini dengan hanya perlu melengkapkan borang pada pautan ini. Pelanggan baru juga perlu mengisikan borang atas talian berkenaan dan pegawai Maxis akan menghubungi untuk tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, sebelum mendaftar anda perlu ambil maklum bahawa pelan ini hadir dengan kontrak selama 24 bulan. Sebarang penamatan awal di dalam tempoh berkenaan akan dikenakan penalti sebanyak RM 500.
Pelan internet jalur lebar gentian berkelajuan tinggi ini pastinya menjanjikan sesuatu yang amat menarik dan ia bakal dilancarkan bermula 13 September ini. Layari laman web rasmi Maxis untuk mendaftar dan mendapatkan keterangan lanjut.













