Maxis telah mengumumkan kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian Globe Teleservices Pte. Ltd. (GTS) untuk melaksanakan firewall bersepadu yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI). Inisiatif ini bertujuan untuk melindungi trafik pemesejan dan suara di seluruh rangkaiannya di Malaysia daripada ancaman siber seperti penipuan dan cubaan pintasan.​

Penyelesaian yang diuruskan sepenuhnya ini direka untuk mengukuhkan keselamatan rangkaian, integriti trafik, dan pencegahan penipuan, yang akan memberi manfaat kepada jutaan pelanggan Maxis. Ia juga memastikan kualiti trafik pemesejan antarabangsa yang masuk ke Malaysia terjamin.​

Menerusi kerjasama ini, Maxis dan GTS akan menentukan serta menguatkuasakan polisi firewall untuk trafik pemesejan dan suara antarabangsa yang ditamatkan pada rangkaian Maxis. Teknologi yang digunakan ialah Armour Firewall milik GTS, yang memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin (machine learning) termaju berdasarkan data trafik global terkumpul. Sistem ini menyediakan mitigasi penipuan yang pantas dengan pemantauan 24/7 dan ujian berterusan.​

Usaha membanteras aktiviti penipuan

Firewall ini akan menyekat spam dan cubaan pintasan mesej antarabangsa yang datang dari saluran tidak rasmi (grey routes) serta operasi penipuan berskala besar seperti ladang SIM (SIM farms). Hasilnya, pelanggan Maxis akan menikmati perlindungan rangkaian yang lebih teguh dan komunikasi tanpa gangguan.​

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Prateek Pashine, “Kepercayaan dan pengalaman pelanggan adalah teras kepada Maxis. Kerjasama dengan GTS ini memperkukuh pertahanan pemesejan dan suara antarabangsa kami, menggunakan kawalan berkuasa AI dan pemantauan berterusan untuk memastikan mesej penting sampai kepada pelanggan dengan cepat dan selamat.” Beliau menambah, ia memberikan jaminan penghantaran yang lebih kuat kepada perniagaan dan pengalaman lebih selamat untuk pengguna mudah alih.​

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Globe Teleservices, Ashutosh Agrawal berkata, “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Maxis untuk melindungi saluran pemesejan dan suara secara berskala. Armour Firewall kami yang didayakan AI menggabungkan pengesanan ancaman pintar dengan kepakaran penghantaran global untuk melindungi rangkaian, meningkatkan pengalaman pelanggan dan nilai yang sering hilang akibat penipuan dan pintasan.”​

Langkah ini dilihat sebagai usaha Maxis dan GTS dalam memperkukuh asas ekosistem digital dan ketersambungan yang lebih selamat serta berkualiti di Malaysia.

Tinggalkan komentar