Utama Teknologi Keselamatan Masalah Kerja Bidang IT: Bila orang lama tinggalkan tempat kerja

Masalah Kerja Bidang IT: Bila orang lama tinggalkan tempat kerja

1892
0

Apabila kita melakukan sesuatu kerja mengesan kerosakan atau troubleshooting, langkah pertama adalah merujuk kepada manual pengguna sesebuah perkakasan terlebih dahulu. Untuk sesebuah program atau sistem digital pula, terutamanya yang dibangunkan khusus untuk kegunaan organisasi, manual dan dokumentasi kadangkala hampir tidak wujud. Nasib-nasib la kalau ada yang rajin membuat dokumentasi atau manual pengguna.

Kadang-kadang, segala kod dan cara melakukan mengesan ralat program itu hanya di dalam kepala si pembuat program itu sendiri. Kelebihannya, apa-apa sahaja masalah yang timbul, segala beban tugas baik pulih boleh diserahkan kepada si pembuat program berkenaan.

Cuma, untuk langkah jangka panjang, ianya berisiko untuk organisasi dan pasukan IT yang bertanggungjawab untuk sistem atau program berkenaan. Bila si pembuat program berkenaan tiada lagi di dalam organisasi, i.e: pencen, berhenti, di buang kerja, berpindah dan sebagainya, tiada siapa lagi yang tahu cara untuk membaik pulihnya.

Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia sahaja memandangkan ianya sudah menjadi satu kelaziman di dalam industri ICT di seluruh dunia.

Pengaturcaraan komputer di serata dunia kian menjadi semakin kompleks hinggakan kini wujud istilah yang dikenali sebagai spaghetti code. Sejenis program yang direka dengan cara sangat rumit dan sukar difahami kerana dibangunkan dengan cara tergesa-gesa, tiada piawaian (standardization), perubahan keutamaan projek dan kadangkala ketidakcekapan pengaturcara-pengaturcara itu sendiri. Ini semua berlaku dek kerana mengejar dateline semata-mata. Atau mentaliti asalkan siap.

Fikirkan kesan jangka panjang

Masalah pada program berkenaan mungkin tidak kelihatan dalam tempoh terdekat selagi pengaturcara-pengaturcara yang membangunkan program berkenaan masih lagi bekerja dengan organisasi. Tetapi, bila sepuluh atau lima belas tahun kemudian bila pengaturcara berkenaan berpindah tempat kerja dan digantikan dengan pengaturcara baru, pastinya akan wujud malapetaka bila program berkenaan tiba-tiba tidak berfungsi.

Hal ini mungkin tidak besar jika program yang digunakan cuma pada skala kecil di peringkat organisasi sahaja. Tetapi, dalam dunia hari ini yang segalanya-galanya di hujung jari, masalah ‘kecil’ berkenaan boleh jadi sebesar masalah yang dihadapi oleh sebuah pengeluar kereta dari Jepun yang mengakibatkan pedal pemecut kereta terlekat. Atau menyebabkan panggilan kecemasan 911 tidak dapat digunakan selama 6 jam di negeri Washington, Amerika Syarikat. Juga, seperti seluruh pesawat-pesawat United Airlines tidak dapat diterbangkan untuk satu hari. Serta banyak lagi contoh-contoh lain yang berlaku akibat kecelaruan pengurusan penulisan program.

Setiap program boleh rosak juga pada satu masa nanti. Namun, kod-kod pengaturcaraan moden pada hari ini sudah menjadi terlalu besar dan berselirat yang menjadikan ianya hampir mustahil untuk diuji atau untuk difahami oleh kebanyakan orang termasuk golongan pengaturcara itu sendiri. Membaik pulih program tidak sama seperti membaik pulih perkakasan elektrik dan elektronik kerana ianya tidak boleh diperiksa secara visual.

Langkah jangka pendek untuk masalah ini adalah perlunya di dalam organisasi itu mewujudkan suasana saling menghargai di antara kakitangan tanpa mengira pangkat. Juga, perasaan tanggungjawab di kalangan kakitangan dan majikan juga perlu dititik beratkan bagi menghindarkan masalah besar seperti jurang kemahiran ini berlaku.

Bagaimanapun, saya tidak nampak sebarang langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah spaghetti code ini dapat dilaksanakan dalam keadaan sekarang, yang mana segalanya telah dipaksa untuk bergerak pantas tanpa mengambil kira faktor kesan jangka panjang malapetaka yang bakal berlaku kelak.

Imej diperoleh dari Flickr

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.