Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum kemaskini Windows 10 19H1 diterbitkan untuk dimuat turun kepada pengguna umum dan buat masa ini Microsoft dilihat masih lagi belum boleh ‘move on’ dari masalah yang membelenggu kemaskini Oktober yang lalu.

Menurut data yang dikumpulkan oleh AdDuplex bagi bulan Februari ini, jumlah pengguna Windows 10 yang mengemaskini ke versi Oktober 2018 hanya sekitar 21.2 peratus sahaja. Jauh ketinggalan dengan kemaskini versi sebelumnya yang merangkumi 71.6 peratus dari jumlah keseluruhan pengguna Windows 10.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan data dari bulan sebelumnya, perubahan ini kelihatan agak ketara.

Mengambil kira masalah-masalah yang timbul akibat kemaskini Windows 10 Oktober yang lalu, adalah tidak mengejutkan jika kita melihat pada data-data yang dikeluarkan oleh AdDuplex ini. Microsoft mengambil masa hampir dua bulan untuk mengatasi masalah pepijat yang terdapat kemaskini berkenaan.

Sumber berita diperoleh dari AdDuplex

Tinggalkan komentar