Sebahagian pengguna Windows 10 dilaporkan alami masalah paparan ralat Blue Screen of Death (BSOD) ketika memasuki halaman log masuk menurut portal Windows Latest. Terdapat juga sebahagian lagi pengguna mengalami masalah PC tergendala.
Masalah ini dilaporkan berpunca dari kemaskini terbaru yang diterbitkan oleh Microsoft. Februari lalu, Microsoft telah menerbitkan kemaskini Windows 10 KB4535996 sebagai kemaskini pilihan yang bertujuan membaiki beberapa masalah yang disebabkan oleh kemaskini terdahulu. Termasuk kemaskini yang menyebabkan fungsi carian Windows 10 tidak dapat digunakan.
Bagaimanapun, kemaskini terbaru yang bertujuan untuk membaiki masalah ini pada akhirnya tidak pun membaiki masalah. Sebaliknya telah menambah lagi masalah kepada masalah yang sedia ada.
Masalah kepada Masalah
Masalah yang kerap diadukan oleh pengguna adalah aplikasi Sign Tool menjadi tergendala selepas kemaskini berkenaan dipasangkan.
Sungguhpun aplikasi ini jarang digunakan oleh sesetengah pengguna, ianya amat penting untuk ‘system administrator’ untuk mengesah dan menandatangan fail-fail. Pengguna yang melaporkan isu ini yang telah menyebabkan SignTool.exe tergendala dengan ralat 1073741502 telah menemukan penyelesaiannya dengan menyahpasang kemaskini KB4535996.
Kemaskini berkenaan turut dilaporkan telah menyebabkan PC menjadi terlalu lembab ketika ‘boot’ dengan sebahagiannya melaporkan berdepan dengan ralat dan menyebabkan Windows 10 gagal dimuatkan.
Masalah Windows 10 gagal untuk dimuatkan ketika boot ini boleh diatasi dengan masuk ke Windows 10 dalam Safe Mode. Di dalam Safe Mode, pengguna boleh menyahpasang kemaskini KB4535996 melalui Settings Windows 10.
Pemain-pemain game PC juga sebahagiannya turut melaporkan kemerosotan kadar bingkai sehingga 10fps ketika bermain game akibat dari kemaskini ini.
Cara membaiki masalah kemaskini Windows 10 ini
Windows 10 KB4535996 merupakan kemaskini pilihan, justeru pengguna tidak diwajibkan untuk memasangkannya.
Bagi pengguna yang telah memasangkannya, cara untuk mengatasi masalah-masalah yang disebabkan oleh kemaskini ini adalah dengan menyahpasangnya. Caranya adalah dengan;
- Buka aplikasi Setting melalui ikon ‘gear’ di dalam Start Menu atau melalui kekunci Windows + I
- Kemudian klik ‘Update & Security’.
- Di dalam tetingkap yang muncul, klik ‘Windows Update’ pada menu sebelah kiri
- Buka ‘View update history’
- Klik ‘Uninstall updates’
- Pilih KB4535996 untuk menyahpasang
Bagi pengguna yang beberapa kali gagal untuk memuatkan Windows 10 ketika boot, anda boleh memilih boot Safe Mode Windows 10. Untuk mendapatkan menu ke Safe Mode, anda boleh menekan kekunci ‘Delete’ atau ‘F2’ ketika Windows 10 cuba untuk ‘boot’.
Sebaik sahaja anda sudah memasuki di dalam Safe Mode, langkah menyahpasang kemaskini berkenaan boleh diikuti seperti langkah di atas.













