Kerajaan Malaysia secara rasminya telah mengharamkan sepenuhnya import sisa elektronik (e-waste). Pengklasifikasikannya dibuat semula di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuat kuasa serta-merta.
Langkah drastik ini menamatkan semua pengecualian budi bicara yang sebelum ini dibenarkan. Sekaligus mengetatkan kawalan terhadap aliran masuk sisa rentas sempadan ke dalam negara.
Keputusan ini diputuskan oleh Pasukan Petugas Khas Pengurusan Penguatkuasaan Sisa Plastik dan Sisa Elektronik yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Susulan mesyuarat tersebut, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan untuk segera mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.
Sebelum ini, e-waste diletakkan di bawah kategori “Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara yang Ditetapkan”, yang membolehkan Ketua Pengarah JAS memberikan pengecualian tertentu tertakluk kepada syarat.
Bagi memantapkan aspek penguatkuasaan, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan untuk menyelaraskan operasi berkaitan e-waste.
Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal. Jawatankuasa tersebut juga akan dipertanggungjawabkan untuk melaporkan hasil tindakan mereka dalam tempoh satu minggu bagi memastikan pengurusan yang lebih sistematik dan berkesan.
E-waste yang selalu di bawa masuk
Antara jenis e-waste yang lazim diimport termasuklah:
- Peralatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT): Komputer riba, komputer meja, monitor, dan komponen komputer.
- Peralatan Rumah: Peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara, dan televisyen.
- Komponen & Sisa Komponen: Papan litar, cakera keras, kabel, dan bahagian elektronik lain yang dileraikan.
- Bateri: Bateri asid plumbum, serta bateri yang mengandungi merkuri, kadmium, atau litium.
- Peralatan Telekomunikasi: Telefon mudah alih terpakai atau tamat tempoh hayat serta peralatan rangkaian.
Langkah ini diambil susulan siri penguatkuasaan ketat dan siasatan berprofil tinggi oleh SPRM, termasuk penahanan pegawai kanan JAS berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengurusan e-waste.
Operasi bersepadu di pelabuhan utama juga telah berjaya memintas ratusan tan sisa haram yang cuba diseludup masuk dari negara luar seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Sepanyol, dan Taiwan.
Pelaksanaan larangan mutlak ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam membanteras sindiket penyeludupan sisa toksik dan memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat pembuangan sampah global. Kira-kira 41,000 kontena bergerak keluar masuk setiap hari, koordinasi antara agensi diperketatkan demi melumpuhkan rangkaian penyeludupan di pelbagai peringkat.












