Kementerian Digital telah melancarkan makmal forensik kenderaan pertama di Malaysia bagi membantu siasatan kemalangan. Dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia, makmal ini bertujuan menyediakan sokongan bagi kes-kes melibatkan kemalangan jalan raya dan jenayah rentas sempadan melibatkan kenderaan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan.
Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, makmal ini mempertingkatkan keupayaan teknikal negara, selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan keselamatan digital. Menurut beliau makmal ini bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti polis, atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila berlaku kemalangan.
Makmal forensik kenderaan berupaya mendapatkan semula data kenderaan, analisis data perlanggaran, pemeliharaan data kamera papan pemuka, analisis keselamatan siber sistem kenderaan, dan penjejakan kenderaan. Selain itu, makmal berkenaan juga mampu menganalisa data dari unit kawalan enjin (engine control unit, ECU) kenderaan dan menyediakan sokongan teknikal.
Gobind menjelaskan data-data yang dikumpul akan digunakan bagi menentukan punca kemalangan. Pengenalpastian punca ini juga dapat membantu dalam menentukan langkah yang perlu diambil dalam menangani faktor penyumbang kemalangan.
Beliau turut menjamin makmal tersebut mematuhi sepenuhnya undang-undang privasi data sedia ada dan memastikan maklumat disimpan dengan selamat serta tidak akan berkompromi di dalam hal ini.
Menteri berkenaan juga menyatakan makmal forensik kenderaan telah menerima persijilan dari Malaysia Book of Records sebagai makmal forensik kenderaan pertama di Malaysia. Menurut beliau pengiktirafan ini merupakan penghargaan untuk kepakaran CyberSecurity Malaysia dalam bidang keselematan siber dan forensik digital.