Maybank mengumumkan kemas kini keselamatan terbaharu untuk aplikasi MAE, yang mana kelulusan Secure2u kini akan memerlukan pengesahan biometrik. Langkah ini diperkenalkan untuk memerangi penipuan dan meningkatkan lagi tahap keselamatan pengalaman perbankan dalam talian para penggunanya.​

Menurut kenyataan rasmi bank tersebut, pengenalan ciri keselamatan tambahan ini telah bermula pada 29 Oktober 2025 dan akan dilaksanakan secara berperingkat kepada semua pengguna. Sebaik sahaja pengguna menerima kemas kini ini, setiap kelulusan Secure2u perlu disahkan menggunakan kaedah biometrik sama ada melalui pengecaman wajah atau imbasan cap jari.​

Tujuan utama langkah ini adalah untuk menghalang sebarang transaksi yang tidak dibenarkan oleh pemilik akaun. Pada peringkat awal, ciri ini akan dikuatkuasakan untuk transaksi pemindahan dana pihak ketiga seperti:​

  • Pindahan Dana Antara Bank (IBFT)
  • Giro Antara Bank (IBG)
  • Pindahan DuitNow

Perkhidmatan lain akan menyusul dalam fasa-fasa berikutnya. Bagi pengguna yang tidak mengaktifkan ciri biometrik pada peranti mereka, kelulusan transaksi masih boleh dibuat dengan memasukkan nombor PIN enam digit yang telah ditetapkan semasa pendaftaran aplikasi MAE.​

Ciri ini merupakan tambahan kepada langkah-langkah anti-penipuan sedia ada yang telah diperkenalkan oleh Maybank. Antaranya akses hanya pada satu peranti sahaja, Malware Shielding, dan Money Lock.​

Walaupun dengan adanya ciri keselamatan tambahan ini, Maybank tetap menasihatkan para pengguna untuk sentiasa berwaspada. Pengguna disaran untuk mengaktifkan fungsi Kill Switch serta-merta sekiranya mereka mengesyaki terdapat akses tanpa kebenaran pada akaun Maybank2u mereka, sama ada melalui aplikasi MAE atau laman web Maybank2u.

Tinggalkan komentar