Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan Laluan LRT Shah Alam (LRT3) berpotensi memulakan operasi seawal April 2026.

Projek infrastruktur rel tersebut kini sedang menjalani ujian perjalanan tanpa kerosakan atau Fault-Free Runs (FFR). Fasa ini melibatkan kira-kira 20 tren yang dibahagikan kepada tiga set. Kumpulan pertama dilaporkan telah berjaya melengkapkan ujian tersebut.

FFR merupakan prosedur mandatori yang memerlukan setiap set tren melengkapkan perjalanan sejauh 4,000 kilometer tanpa sebarang kegagalan teknikal.

Anthony Loke menjelaskan isu teknikal yang timbul pada November dan Disember lalu telah menyumbang kepada kelewatan jadual asal.

Imej dari Malay Mail

Antara masalah yang dikesan termasuk gangguan perisian, isu sistem isyarat, ketidakselarasan tren dengan pintu platform, serta isyarat kecemasan palsu. Sekiranya berlaku sebarang ralat, ujian tersebut perlu ditetapkan semula ke titik sifar, walaupun tren telah melengkapkan perjalanan beribu-ribu kilometer.

Walaupun Menteri Pengangkutan mensasarkan pembukaan pada bulan April, pihak Prasarana dilihat mengambil pendekatan yang lebih konservatif. Operasinya dijangka bermula sekitar Jun 2026 sebagai tempoh penimbal.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer ini bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia. Integrasi antara stesen juga disediakan di stesen Bandar Utama (MRT Laluan Kajang) dan Glenmarie (LRT Laluan Kelana Jaya).

Pembukaan LRT3 ini dijangka mampu meredakan kesesakan trafik di Lembah Klang, khususnya di koridor Shah Alam dan Klang.

Tinggalkan komentar