Sebanyak enam lebuh raya utama dan 25 jalan raya utama di sekitar Lembah Klang akan mengalami lencongan trafik secara berperingkat bermula 17 hingga 29 Oktober 2025. Langkah ini diambil bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, memaklumkan bahawa lencongan ini penting bagi memastikan kelancaran pergerakan para delegasi dan orang kenamaan sepanjang acara berlangsung.

Menurut beliau, seramai 1,111 pegawai dan anggota trafik akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas, mengiringi kenderaan VIP, serta menguatkuasakan peraturan jalan raya sepanjang tempoh tersebut.

Senarai Lebuhraya dan Jalan Raya terlibat dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Antara lebuh raya yang terjejas termasuk:

  • Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
  • Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie
  • Lebuhraya Utara-Selatan
  • Lebuhraya MEX
  • Lebuhraya KL-Seremban

Jalan-jalan utama yang turut terlibat pula ialah:

  • Lebuh Kuala Lumpur International Airport (KLIA)
  • Lingkaran Putrajaya
  • Jalan Istana
  • Jalan Damansara
  • Jalan Tun Abdul Razak
  • Jalan Ampang
  • Jalan Sultan Ismail
  • Jalan Bukit Bintang
  • Jalan Parlimen
  • Jalan Kuching

“Satu raptai penuh pergerakan konvoi iring hormat juga akan diadakan bermula esok (17 Oktober) sehingga 24 Oktober, meliputi laluan dari Kompleks Bunga Raya di KLIA dan Pangkalan Udara Subang ke hotel-hotel di sekitar ibu kota, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan Seri Negara,” kata Mohd Yusri dalam satu sidang media.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan jalan-jalan yang terlibat dan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel, atau bas sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi petugas media, petugas kesihatan, dan mereka yang bertugas rasmi, laluan akan diberikan dengan pas rasmi yang sah. Walau bagaimanapun, jika konvoi VIP menghampiri, pegawai trafik tidak akan membenarkan laluan tanpa mengira status pas,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini merupakan kemuncak bagi Pengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, yang membawa tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’. Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir termasuk:

  • Presiden Amerika Syarikat Donald Trump
  • Perdana Menteri China Li Qiang
  • Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva
  • Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Tinggalkan komentar