Meta, syarikat induk Facebook, Instagram, dan WhatsApp, menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan Malaysia untuk melarang penggunaan media sosial bagi individu di bawah umur 16 tahun.
Langkah tersebut dikatakan mungkin akan mengakibatkan golongan muda beralih kepada platform dalam talian yang kurang selamat. Malah mungkin tidak mempunyai kawalan yang mencukupi.
Cadangan ini timbul berikutan tragedi yang berlaku di sekolah baru-baru ini. Antara yang turut dicadangkan pengesahan eKYC (Kenali Pelanggan Anda Secara Elektronik) untuk pendaftaran akaun media sosial.
Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Dr Rafael Frankel, menegaskan bahawa larangan sepenuhnya terhadap media sosial boleh menjadi tidak produktif. Beliau berpendapat usaha untuk memastikan keselamatan belia dalam talian perlu merangkumi keseluruhan ekosistem digital. Ia merangkumi permainan video, aplikasi pendidikan dan platform video, bukan hanya tertumpu pada media sosial.
Ke mana remaja akan pergi?
“Jika anda mengharamkan media sosial untuk remaja, ke mana mereka akan pergi? Mereka akan pergi ke tempat seperti permainan yang jauh kurang selamat, yang mempunyai kawalan yang jauh lebih sedikit. Mereka tidak akan hanya berada di luar talian,” kata Dr Rafael Frankel.
Beliau menambah, remaja mungkin akan beralih kepada platform yang tidak dikawal selia dengan baik atau tidak mempunyai langkah keselamatan yang ketat, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko interaksi dengan orang yang tidak dikenali tanpa pengawasan ibu bapa.
Dalam pada itu, Meta turut berkongsi usahanya dalam membanteras penipuan dalam talian. Menurut jurucakapnya sebanyak 12 juta akaun yang berasal dari pusat penipuan di Kemboja, Myanmar, Laos, Filipina, dan UAE telah dipadam pada separuh pertama tahun ini. Selain itu, 157 juta iklan yang melanggar dasar penipuan Meta telah dibuang pada tahun 2024, dengan 90% daripadanya dikesan sebelum dilaporkan oleh pengguna.
Namun, timbul persoalan mengenai status operasi Meta di Malaysia. Sehingga kini, Meta didapati masih belum memperoleh lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) yang diwajibkan di bawah Peraturan Media Sosial negara.
Semakan pada daftar ASP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menunjukkan nama Facebook, Instagram, atau WhatsApp, sedangkan platform seperti TikTok, WeChat, dan Telegram telahpun berdaftar. Di bawah peraturan tersebut, adalah menjadi satu kesalahan bagi platform media sosial dengan 8 juta pengguna di Malaysia untuk beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025.













