Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan pemandu e-hailing sepenuh masa akan layak menerima lebih dari kuota petrol 300 liter melalui BUDI95 bermula 15 Oktober. Permohonan untuk penambahan kuota ini akan akan diuruskan oleh kerajaan dengan pengendali e-hailing untuk memproses secara pukal.
Dalam pada masa yang sama, kerajaan turut mengambil kira pengangkutan air dan telah memutuskan untuk memasukkan pemilik-pemilik bot berdaftar di bawah BUDI95 tanpa mengambil kira lesen memandu yang sah.
Buat masa ini kerajaan persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri berkaitan seperti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi mengenalpasti pemilik-pemilik bot berdaftar.
BUDI95 yang bermula pada 27 September menyediakan kuota bulanan 300 liter untuk harga petrol bersubsidi RM1.99 seliter. Kuota berkenaan akan disetkan semula pada setiap 1 hari bulan untuk setiap bulan.
Setakat jam 6 petang pada 1 Oktober 2025, transaksi bagi program ini telah mencecah RM84.2 juta, bersamaan lebih dari 42.3 juta liter petrol RON95 bersubsidi dengan kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM27.8 juta untuk subsidi tersebut.
Subsidi petrol BUDI95 diberikan kepada seluruh warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah. Subisidi ini boleh didapatkan dengan mengimbas MyKad sebelum isian bermula atau menggunakan aplikasi stesen minyak dan TNG eWallet. Kerajaan turut mengumumkan rakyat Malaysia dengan lesen memandu Singapura tidak lama lagi mempunyai mekanisme untuk menikmati BUDI95.