Keretapi Tanah Melayu (KTM) akan memperluaskan rangkaian komuter ke selatan Semenanjung menerusi perkhidmatan baharu KTM Komuter Selatan yang dijangka bermula pada Februari 2026.
Ia diperkenalkan sebulan selepas perkhidmatan Electric Train Service (ETS) beroperasi di Johor. Perkhidmatan ini disasar membantu penduduk negeri berkenaan menangani masalah kesesakan lalu lintas. Selain itu ia juga menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih dipercayai.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, KTM Komuter Selatan akan beroperasi sejauh 25 kilometer dari Johor Bahru Sentral ke Kulai.
Laluan ini dijangka mengurangkan masa perjalanan waktu puncak daripada kira-kira satu jam dengan kereta kepada hanya 30 minit dengan tren.
Beliau memaklumkan akan terdapat 32 perjalanan KTM Komuter Selatan setiap hari dengan kapasiti sekitar 400 penumpang bagi setiap tren. Tambang pula dijangka ditetapkan di bawah RM3 bagi menjadikan pengangkutan rel lebih mampu milik kepada penduduk setempat.
Cadangan Laluan Kempas Baru–Pasir Gudang
Selain itu, Mohamad Fazli mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya tren penumpang turut diperkenalkan di laluan cabang tunggal Kempas Baru–Pasir Gudang yang ketika ini hanya digunakan tren kargo.
Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan yang dihadapi penduduk di Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan kawasan sekitar yang bergantung kepada laluan jalan raya sedia ada.
Beliau menjelaskan jarak laluan sekitar 25 kilometer itu juga hanya mengambil masa kira-kira 30 minit dengan tren berbanding lebih sejam dengan kereta pada waktu puncak.
Mohamad Fazli melihat potensi besar untuk membuka perkhidmatan penumpang di laluan Kempas–Pasir Gudang bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan rel di selatan Johor.
Stesen Sementara Dan Pelan Naik Taraf
Bagi mempercepatkan pelaksanaan, kerajaan negeri mengemukakan cadangan pembinaan tiga stesen penumpang sementara dalam tempoh enam bulan akan datang. Tiga lokasi yang dicadangkan ialah Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Kampung Pasir Putih yang akan berfungsi sebagai hab penumpang asas terlebih dahulu.
Stesen-stesen sementara ini dirancang untuk dinaik taraf secara menyeluruh pada tahun hadapan melalui peruntukan dan pelaksanaan oleh Kementerian Pengangkutan.
Langkah ini dilihat sebagai fasa awal ke arah membangunkan infrastruktur rel yang lebih moden dan menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta mobiliti penduduk di Johor.
Pelancaran KTM Komuter Selatan pada Februari dijangka menjadi pemangkin utama kepada usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan meningkatkan kebolehaksesan pengangkutan awam di selatan Johor.
Melalui penambahan laluan baharu, cadangan tren penumpang ke Pasir Gudang dan pembinaan stesen sementara, Johor dilihat berada pada landasan positif untuk membangunkan ekosistem pengangkutan yang lebih mampan dan bersepadu.













