Korea Selatan baru-baru ini telah mengumumkan akan melancarkan sendiri rangkaian 6G di negara tersebut. Ia akan dibangunkan menggunakan teknologi bertaraf dunia, rangkaian mudah alih berasaskan perisian generasi berikutnya, selain turut memperkasakan rantaian bekalan rangkaiannya.

Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Kementerian Sains dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Korea Selatan Isnin baru-baru ini.

Kerajaan Korea Selatan akan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat tempatan yang berhasrat menghasilkan bahan, komponen dan peralatan untuk pembangunan rangkaian 6G tersebut. Pihak kerajaan turut merancang memperkukuhkan rantaian bekalan sebagai sokongan.

Satu kajian kebolehlaksanaan yang mengkaji teras teknologi 6G juga kini sedang diusahakan. Projek tersebut dianggarkan bernilai sekitar 625.3 billion won (~RM2.13 billion)

Melalui inisiatif ini, Korea Selatan mensasarkan ke arah peneraju teknologi rangkaian 6G dunia. Korea Selatan merupakan ekonomi keempat terbesar Asia dengan memegang 25.9% paten 5G. Sebagai perbandingan, China memegang sebanyak 26.8%. Kerajaan Korea Selatan juga mensasarkan untuk melepasi paras 30% paten 6G bagi mengekalkan momentum persaingannya.

6G dikatakan mampu menyatukan dunia maya dan realiti sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Timbalan Pengurus Bahagian Teknologi Ericsson China Zhang Yongtao. Beliau turut menyatakan 6G juga akan membawakan teknologi komunikasi holografik di dalam dunia fiksyen sains kepada dunia sebenar.

Tinggalkan komentar