Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang menyiasat wabak tuberkulosis (tibi/TB) di daerah Kota Tinggi selepas 33 kes aktif dikesan setakat ini.
Kluster ini mula dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi pada 25 Januari di satu lokaliti dalam daerah berkenaan. Pengesanan dibuat melalui saringan kontak rapat
Sehingga semalam, seramai 804 kontak rapat telah disaring dan jumlah kes meningkat kepada 33. JKNJ turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas dan sekitarnya terutama yang mengalami batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah kontak agar menjalani saringan segera di fasiliti kesihatan berhampiran bagi membendung penularan.
JKNJ memaklumkan semua pesakit yang terlibat telah menerima rawatan dan kini dipantau rapi di fasiliti kesihatan berdekatan. Terdapat satu kematian telah disahkan melibatkan pesakit tibi, namun kematian tersebut bukan disebabkan oleh tibi.
Tibi ialah penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan batuk kronik. Antara gejala yang dinyatakan termasuk batuk berpanjangan, penurunan berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh waktu malam dan batuk berdarah.
JKNJ turut memaklumkan tibi boleh dicegah dan disembuhkan melalui rawatan berkesan dengan tempoh minimum enam bulan.
Tibi berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis dan kebanyakannya merebak melalui udara dari individu ke individu. Secara lazimnya ua menyerang paru-paru tetapi boleh menjangkiti organ lain seperti otak, buah pinggang atau tulang belakang.
JKNJ menegaskan penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan betul. Justeru saringan di fasiliti kesihatan berhampiran disaran khususnya bagi mereka yang bergejala atau berisiko melalui kontak.













