Khabane “Khaby” Lame baru-baru ini telah menjadi individu paling ramai pengikut di TikTok dengan mencatatkan sejumlah 149.5 juta pengikut dan 2.4 billion ‘likes’ di platform berkenaan.

Rentetan dari itu, beliau telah mula mengorak langkah untuk memperluaskan pencapaiannya. Menerusi wawancara dengan majalah Fortune, Khaby Lame yang berusia 22 tahun mendedahkan beliau kini sedang giat mempelajari bahasa Inggeris dengan menonton filem-filem dan kartun-kartun Amerika Syarikat.

Beliau juga kini meluangkan masa sebanyak 1 jam dalam sehari berlatih berbahasa Inggeris dengan seorang tutor. Turut dinyatakan di dalam wawancara tersebut adalah hasrat beliau untuk menjadi seorang pelakon.

Ketika ditemubual oleh TMZ awal tahun ini, Khaby Lame berkongsikan matlamat beliau untuk membintangi filem bersama-sama Will Smith. Menurut beliau, impian untuk menjadi seorang pelakon bermula selepas menonton rancangan The Fresh Prince of Bel-Air.

Sementara beliau menggapai impiannya, Khaby Lame terus menjana pendapatan yang lumayan menerusi TikTok. Baru-baru beliau telah menerima bayaran lebih kurang RM 2.04 juta melalui kerjasama beliau dengan Hugo Boss yang turut melibatkan aktiviti mempromosikan acara Milan Fashion Week di dalam TikTok.

Majalah Fortune juga membuat penilaian kontrak dengan sebuah studio Hollywood utama yang menunjukkan Khaby Lame mampu menerima bayaran sejumlah RM 3.4 juta untuk sebuah klip video. Selain itu, beliau turut dianggarkan menerima pendapatan sejumlah lebih kurang RM 4.5 juta dalam setahun.

Tinggalkan komentar