Utama Teknologi GovTech Kerajaan pertimbangkan untuk mewajibkan label ‘AI Generated’ di bawah Akta Keselamatan Dalam...

Kerajaan pertimbangkan untuk mewajibkan label ‘AI Generated’ di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian

65
0

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah memaklumkan kerajaan tidak lama lagi akan mewajibkan platform-platform digital melabelkan kesemua kandungan janaan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada Akta Keselamatan Dalam Talian 2024. Peraturan tersebut dijangka dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini bertujuan membendung penyalahgunaan AI melibatkan penipuan, maklumat palsu dan identiti dalam talian.

Bercakap di sidang media semalam, Fahmi menyatakan kerajaan mempertimbangkan mewajibkan pelabelan tersbeut bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti terutamanya di platform media sosial yang kian sarat dengan teks, imej dan video janaan AI.

Menurut beliau, langkah ini akan menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia memperkasakan keselamatan digital dan mencegah penyebaran berita palsu. Di peringkat antarabangsa, Fahmi mengetengahkan perbincangan mengenai tatakelola AI masih lagi berjalan dengan tiada satu pendekatan kawal selia yang memuaskan setakat ini seperti yang dibincangkan di Persidangan Sedunia AI untuk Kebaikan di Geneva baru-baru ini.

Menteri berkenaan juga menegaskan kecerdasan buatan masih lagi belum mampu menggantikan penilaian dan peranan manusia walaupun ia sangat berguna. Tambah beliau lagi, Parlimen dan pihak kementerian seperti Kementerian Digital boleh menggalas peranan dalam mengawal selia AI di dalam negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.