Kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menyekat platform permainan dalam talian popular, Roblox. Ia berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai potensi pengaruhnya terhadap kanak-kanak.
Perkembangan ini menyusul beberapa insiden membabitkan pengguna di bawah umur dan selari dengan langkah kawal selia yang bakal dilaksanakan di negara lain.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, memaklumkan bahawa perbincangan mengenai perkara ini masih di peringkat awal. Menurut beliau, sebarang keputusan akan mengambil kira peraturan yang bakal dikenakan oleh Australia terhadap Roblox, yang dijangka berkuat kuasa pada Disember.
“Kami sedang memantau dengan teliti bagaimana Australia melaksanakan peraturan ini. Mereka masih dalam peringkat perancangan, dan belum ada apa-apa yang dikuatkuasakan lagi,” kata Nancy kepada pemberita selepas menghadiri Program Latihan dan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara semalam. Beliau menambah, Malaysia akan menilai kesesuaian pendekatan serupa dengan konteks tempatan dan norma budaya negara.
Kenyataan ini dibuat susulan satu kes di Batu Pahat baru-baru ini, di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun didakwa menyerang adiknya yang berusia enam tahun sehingga cedera parah. Pihak polis menyatakan insiden itu mungkin berpunca daripada pertengkaran berkaitan permainan Roblox, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Selain Roblox, aplikasi temu janji OMI turut disebut sebagai platform yang berpotensi disekat. Aplikasi itu mendapat perhatian umum selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun didakwa bertemu dengan seorang lelaki melaluinya sebelum menjadi mangsa penderaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Komunikasi turut meneliti cadangan untuk mewajibkan pelesenan bagi permainan dalam talian yang popular di Malaysia. Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan kira-kira 10 permainan sedang dipertimbangkan untuk langkah ini, termasuk Roblox. Ia meruapakan sebagai sebahagian usaha lebih meluas untuk mengawal selia industri permainan dan meningkatkan keselamatan pengguna, terutamanya golongan bawah umur.













