Kerajaan Malaysia bakal memperkenalkan program ‘sandbox’ kawal selia bagi platform media sosial bermula 1 Januari 2026 sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan keselamatan pengguna di internet.

Inisiatif yang diteraju oleh Kementerian Komunikasi ini bertujuan membolehkan pihak berkuasa dan penyedia platform menguji keberkesanan mekanisme peraturan. Ia juga bagi menilai keupayaan teknikal dalam persekitaran terkawal sebelum penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh dilaksanakan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan program ini akan melibatkan kerjasama erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform media sosial terpilih.

Penilaian impak yang lebih menyeluruh

Melalui proses ‘sandbox’ ini, pengawal selia dapat menilai keberkesanan dasar, mengenal pasti risiko, dan melihat impak keseluruhan. Dalam pada masa yang sama, pihak industri juga diberi ruang untuk menyesuaikan operasi teknikal mereka agar mematuhi keperluan undang-undang negara.​

Program percubaan ini dijangka berjalan selama beberapa bulan bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar berkesan dan sukar dimanipulasi.

Mengulas mengenai perbandingan dengan tindakan Australia yang melarang penggunaan media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun, Fahmi menyatakan bahawa Malaysia tidak bercadang untuk mengikut langkah drastik tersebut, sebaliknya memilih kaedah yang lebih sesuai dengan konteks tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia lebih cenderung kepada sistem pengesahan umur yang dicadangkan oleh platform berbanding pendekatan “age assurance” Australia, kerana ia lebih mudah dilaksanakan serta menjaga privasi pengguna.

​”Saya menerima surat daripada pengarah serantau Facebook yang menyatakan bahawa beliau sangat terbuka dan secara rasmi Facebook bersedia membantu melakukan pengesahan umur menggunakan dokumen yang dikeluarkan kerajaan.

“Jadi, idea itu bukan datang daripada saya sebenarnya, tetapi daripada Facebook… maka, saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Dr Raphael Frankel (Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara) kerana memberikan idea ini kepada saya. Kami mungkin akan mengambil langkah sebegitu,” katanya.

Pelaksanaan ‘sandbox’ kawal selia ini memberi ruang masa kepada kerajaan dan penyedia platform untuk menilai keberkesanan sistem serta mengatasi sebarang kelemahan sebelum pelancaran awam.

Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan pilihan alternatif sekiranya sesuatu pendekatan didapati tidak praktikal, sambil mengambil iktibar daripada model negara lain seperti Australia dan Denmark untuk disesuaikan dengan acuan Malaysia.

Tinggalkan komentar