MyDigital ID merupakan aplikasi sehenti untuk platform agensi-agensi kerajaan dengan jumlah pengguna berdaftar 2.8 juta sehingga Jun 2025. Buat masa ini pendaftaran masih lagi dilakukan secara sukarela oleh orang awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal akta bagi menggalakkan atau mewajibkan orang ramai mendaftar MyDigital ID.
Menurut beliau, ini kerana terdapat kekangan bagi memastikan rakyat Malaysia mendaftar MyDigital ID memandangkan pendaftarannya dilakukan secara sukarela setakat ini.
“Bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan MyDigital ID, ada kekangan sebab pendaftaran bersifat secara sukarela. Ini antara perkara yang kita kena bincangkan dengan lebih terperinci lagi.
“Bagaimana hendak pastikan lebih ramai mendaftar dalam MyDigital ID? Kerajaan sedang melihat kemungkinan untuk kita mewujudkan mungkin akta yang boleh menggalakkan, mewajibkan rakyat untuk mendaftar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau lagi jumlah pengguna yang berdaftar dijangka meningkat dengan lebih banyak kes kepenggunaan (use cases) untuk MyDigital ID yang digunakan sebagai kaedah pengenalpastian identiti. Beberapa perkhidmatan telah pun mewajibkannya seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain itu, beliau turut menyatakan MyDigital ID buat masa ini diintegrasikan dengan 82 sistem digital, termasuk 35 platform kerajaan dengan 38 lagi sedang diusahakan. Tujuh sistem bukan kerajaan juga sedang diintegrasikan dengan dua lagi akan menyusul. Manakala enam bank tempatan telah melengkapkan peringkat medan ujian (sandbox). Pihak syarikat yang membangunkan aplikasi berkenaan sebelum ini pernah dilaporkan menyatakan hasrat untuk menjadikan aplikasi MyDigital ID sebagai Super App.