Utama Mobile Aplikasi Kerajaan Negeri di Jerman ganti penggunaan Microsoft Office dengan LibreOffice yang percuma

Kerajaan Negeri di Jerman ganti penggunaan Microsoft Office dengan LibreOffice yang percuma

Langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kos perbelanjaan yang tinggi bagi pembelian perisian berbayar.

33
0

Perisian percuma dan sumber terbuka adakalanya tidak menerima pengiktirafan yang setimpal sebagaimana yang diterima oleh perisian dan program berjenama.

Pun begitu, ia masih lagi alternatif yang bagus bagi pengguna yang tidak mampu menanggung kos perbelanjaan yang tinggi perisian berbayar.

Atas sebab itu, salah sebuah kerajaan negeri di dalam Persekutuan Jerman, Schleswig-Holstein ingin menggantikan Microsoft Office dengan alternatif sumber terbuka. Sejumlah 25,000 buah PC kegunaan penjawat awam, termasuk majoriti guru-guru akan dipasangkan dengan LibreOffice menjelang 2026.

Menurut Menteri Digital negeri Schleswig-Holstein, Jan Philipp Albrecht langkah ini hadir berikutan kos perlesenan Microsoft Office yang kian meningkat. Pihaknya juga ingin memanfaatkan sumber terbuka melalui pendigitalan kerajaan yang mampu memberikan lebih fleksibiliti berbanding perisian berbayar.

Beliau memberikan contoh keupayaan mengubahsuai reka bentuk portal pendidikan untuk sekolah-sekolah mengikut kesesuaian mereka melalui penggunaan sumber alternatif tersebut.

Pihak kerajaan negeri juga mampu mengadaptasi ke arah persidangan video dalam talian lebih pantas berbanding yang lain ketika pandemik melalui perisian yang berasaskan sumber terbuka, Jitsi.

LibreOffice buat ketika ini merupakan salah satu perisian alternatif Microsoft Office yang popular. Ia dibina berasaskan LibreOffice yang ditawarkan sebagai perisian percuma dan sumber terbuka dengan menyediakan pelbagai ketersesuaian dengan Microsoft Office.

Badan bebas bukan berasaskan keuntungan yang mendokong LibreOffice, Document Foundation berbesar hati dengan langkah negeri Jerman berkenaan:

“We at the Document Foundation are pleased that LibreOffice is being used in public institutions, and hope that more federal states, governments and other organisations around the world will join the migration,” – The Document Foundation

Kos yang tinggi melibatkan penggunaan Perisian Microsoft

Turut dibentangkan rancangan jangka panjang yang akan menamatkan kebergantungan kerajaan negeri Schleswig-Holstein dengan Microsoft Windows. Encik Jan Philipp Albrecht menyatakan pihaknya akan menggantikan sepenuhnya Windows dengan sistem operasi berasaskan Linux.

Salah satu sebab yang dinyatakan oleh beliau adalah mengenai keperluan perkakasan yang tinggi diperlukan oleh Windows 11 yang mana boleh diatasi oleh sebahagian besar OS berasaskan Linux.

Tidak dinyatakan bilakah langkah ini akan mula dilaksanakan dan apakah distro Linux yang akan digunakan kelak. Setakat ini Encik Jan Philipp Albrecht hanya memaklumkan pihaknya sedang menguji lima distro Linux yang berbeza bagi menentukan sistem apa yang terbaik kegunaan PC kerajaan negeri.

Menariknya, ini bukanlah kali pertama kerajaan negeri di Jerman melaksanakan idea penggunaan perisian sumber terbuka. Pada tahun 2003, bandaraya Munich telah memutuskan untuk mengubah komputer-komputer pentadbiran bandar tersebut dari Windows NT kepada OS berasaskan Linux.

Bagaimanapun, rancangan tersebut berdepan dengan pelbagai isu hingga menjadi punca penangguhan. Sasaran asal menukar 14,000 buah PC kepada Linux pada tahun 2005 telah dianjak ke tahun 2013.

Memburukkan lagi keadaan, pengguna tidak menyambut baik langkah tersebut kerana tidak biasa menggunakan perisian sumber terbuka. Akhirnya, projek yang dinamakan sebagai LiMux ini ditamatkan pada 2017 apabila bandaraya Munich memutuskan untuk kembali menggunakan Windows 10.

Kini, Munich sekali lagi membuat langkah ‘U-turn’ dengan kembali semula dengan perisian sumber terbuka. Penggunaan sumber terbuka ini juga telah menjadi manifesto oleh calon baharu sahaja memenangi pilihanraya bandaraya Munich.

Apa pun, langkah penggunaan sumber terbuka oleh mana-mana kerajaan negeri merupakan satu usaha yang besar manfaatnya terhadap komuniti sumber terbuka di seluruh dunia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.