Kerajaan sedang merancang untuk membangunkan model kecerdasan buatan (AI) di dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ia bertujuan mengukuhkan kedaulatan digital, meningkatkan keselamatan data, dan mengurangkan kebergantungan dengan syarikat asing.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong mengumumkan usaha tersebut minggu ini ketika debat penggulungan kementerian Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara.
Dikenali sebagai Model Bahasa Raya Kebangsaan (NLLM), projek ini dibangunkan dengan pemain industri tempatan, universiti dan penyedia teknologi. Ia akan merangkumi beberapa aspek seperti pembangunan model, kejuruteraan data, infra-struktur perkomputeran, dan pembentukan pusat data setempat. Menurut menteri lagi, agenda AI berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan tumpuan terhadap infrastruktur, celik digital, pendidikan dan sokongan untuk masyarakat luar bandar.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga sedang menilai cadangan membangunkan Sistem Kecerdasan Buatan Islamik ( Islamic Artificial Intelligent System) dengan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sistem tersebut dibangunkan supaya selari dengan inisiatif kerajaan membangunkan AI yang selari dengan budaya dan etika nilai masyarakat Malaysia.
Selain pembangunan NLLM, sebuah lagi model yang dibangun berasaskan Bahasa Melayu dari YTL, Ilmu telah diperkenalkan pada Disember tahun lalu. Baru-baru ini model berkenaan boleh diakses melalui chatbot ILMUchat menerusi platform perbankan digital Ryt Bank yang baharu dilancarkan.