Kementerian Komunikasi sedang meneliti semula keperluan menyemak had jumlah pengguna bagi platform media sosial dan permesejan Internet untuk didaftarkan sebagai pemegang lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyatakan langkah ini diambil susulan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) “Grok” yang dikesan menjana kandungan berbahaya serta lucah melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Sejak 1 Januari lalu, semua penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) di bawah peruntukan Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Walau bagaimanapun, insiden terkini melibatkan aplikasi AI Grok di platform X (dahulunya Twitter) telah menimbulkan keperluan mendesak untuk menilai semula ketetapan had lapan juta pengguna tersebut.

Berbeza dengan TikTok dan Facebook mempunyai pangkalan pengguna yang besar di Malaysia, platform X dilaporkan memiliki jumlah pengguna di bawah ambang lapan juta. Namun, risiko keselamatan yang timbul memerlukan penelitian semula terhadap kriteria pelesenan sedia ada.

“”Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain… X mungkin kurang, tidak terlalu popular tetapi memandangkan masalah Grok ini berlaku maka pihak kementerian dan MCMC melihat ada kewajaran untuk meneliti semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia,” jelas beliau.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak MCMC untuk menentukan had jumlah pengguna yang lebih sesuai serta tindakan susulan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC pada 11 Januari lalu telah mengarahkan sekatan sementara ke atas akses AI Grok bagi pengguna di Malaysia akibat penyalahgunaan berulang yang melanggar undang-undang negara.

Selain itu, kerajaan turut merancang pelaksanaan pengesahan umur pengguna media sosial menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, dan MyDigital ID melalui mekanisme Electronic Know Your Customer (EKYC).

Langkah semakan semula ini bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan media sosial beroperasi secara tertib di dalam kerangka undang-undang negara, sekali gus menjamin keselamatan ekosistem digital Malaysia daripada ancaman kandungan berbahaya.

Tinggalkan komentar