KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2023 – Kerajaan dilaporkan sedang mengkaji keperluan untuk melantik pegawai perlindungan data dalam setiap organisasi. Ia merupakan sebagai sebahagian usaha mengukuhkan perlindungan data pengguna di Malaysia.

Berita Harian melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ia adalah antara perkara dalam cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di dalam majlis perasmian pembukaan Perkhidmatan, Pertahanan Digital Siber dan Keselamatan Asia (CyberDSA) 2023 di Kuala Lumpur semalam.

“Kita sedang mempertimbangkan sama ada setiap organisasi perlu ada pegawai perlindungan data atau tidak. Ini antara yang sedang dipertimbangkan berdasarkan masalah penjagaan data oleh setiap organisasi yang kita lihat mungkin ada keperluan untuk diwujudkan satu jawatan.

“Tetapi semuanya tertakluk kepada proses yang saya sebutkan, untuk mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh dan pihak berkepentingan serta menanti keputusan Jemaah Menteri,”

Naik taraf Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) kepada badan berkanun

Tambah beliau lagi, kerajaan bercadang untuk menaik taraf Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) kepada badan berkanun bagi mengukuhkan peranannya. Ia perlu dilakukan untuk memperkasakan jabatan tersebut untuk mengetuai perlindungan data peribadi dalam industri dan urus niaga komersial hasil daripada semakan semula PDPA 2010.

“Bagi pindaan kepada PDPA 2010, seperti kita sedia maklum pada Januari 2020, satu kertas putih telah dibawa dan ada lebih 20 soalan berkenaan dengan beberapa seksyen berkaitan di dalam akta itu yang kita perlu tambah baik.

“Antara isu utama takrifan transaksi komersil dan juga apa yang dimaksudkan dengan data, pemproses data serta satu aspek yang kita lihat agak penting iaitu pegawai pelindung data. Ini penting bagi organisasi-organisasi yang menjaga data.

“Bagaimanapun saya telah minta pihak JPDP untuk mengadakan siri pertemuan dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan sedikit maklum balas sebelum kita bawa draf mutakhir (pindaan PDPA) ke Jemaah Menteri.

“Kita jangkakan proses ini akan mengambil sedikit masa dan jangkaan saya sekiranya diluluskan oleh Jemaah Menteri, kita akan bawa pindaan ini ke Parlimen, pada Oktober ini atau paling lewat bulan Mac tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu Fahmi berkata, Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber bakal dibentang ke Dewan Rakyat pada akhir tahun ini dalam usaha untuk mengukuhkan daya tahan dan tindak balas Malaysia terhadap ancaman siber.

Katanya, RUU itu dirangka oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara yang kemudian akan dibawa ke Jemaah Menteri terlebih dulu untuk mendapatkan kelulusan sebelum perinciannya dapat dikongsikan kepada khalayak awam.

“Prosesnya sedang berjalan dan saya percaya tidak lama lagi NACSA akan dapat menyampaikan sedikit apa yang terkandung di dalam RUU itu,” katanya

Tinggalkan komentar