Kerajaan sedang meneliti cadangan mewajibkan syarikat media sosial menggunakan sistem MyDigital ID negara bagi menyemak umur pengguna dan menghalang individu bawah 16 tahun daripada membuka akaun.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata langkah itu dibincang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pengendali platform utama bagi memastikan penguatkuasaan had umur lebih berkesan. Cadangan ini dikemukakan susulan persoalan di Parlimen mengenai cara kerajaan melaksanakan kawalan umur di ruang siber.
Usaha melindungi Kanak-Kanak Dalam Talian
Teo menjelaskan MyDigital ID dicadang menjadi antara kaedah pengesahan identiti dan umur ketika pengguna mendaftar akaun media sosial, sejajar usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian. MyDigital ID ialah sistem pengenalan digital nasional yang boleh digunakan bagi mengesahkan butiran asas seperti umur tanpa mendedahkan maklumat lain secara terbuka kepada platform komersial.
Menurut beliau, kerajaan bercadang menggunakan MyDigital ID sebagai salah satu mekanisme untuk memastikan hanya individu berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mempunyai akaun media sosial.
Beliau turut memaklumkan kerajaan dan SKMM sedang berbincang dengan syarikat media sosial utama mengenai model pelaksanaan, termasuk integrasi teknikal dan pematuhan kepada undang-undang tempatan.
Teo berkata beberapa negara lain juga sedang memperkenalkan peraturan serupa, dan menggariskan bahawa Australia dijangka melaksanakan kaedah pengesahan umur tersendiri tidak lama lagi, sekali gus menunjukkan trend global ke arah perlindungan pengguna muda.
Cadangan Malaysia yang menggunakan MyDigital ID dilihat sebagai pendekatan berasaskan identiti nasional berbanding kaedah pihak ketiga yang diguna di sesetengah negara.
Dalam sesi yang sama, Teo turut mendedahkan data aduan berkaitan kualiti rangkaian yang diterima SKMM melalui Consumer Redress Portal antara 1 Januari hingga 20 November tahun ini. SKMM merekodkan 2,937 aduan di seluruh negara, dengan majoriti berkaitan gangguan perkhidmatan dan isu liputan rangkaian mudah alih. Butiran aduan yang dikongsikan adalah seperti berikut:
- Gangguan perkhidmatan: 2,047 aduan (70%).
- Liputan 4G/LTE lemah: 274 aduan (12%).
- Kelajuan internet perlahan atau tidak stabil: 306 aduan (10%).
- Ketiadaan liputan 4G/LTE: 136 aduan (5%).
- Liputan 5G lemah: 109 aduan (4%).
Cadangan penggunaan MyDigital ID bagi pengesahan umur di platform media sosial menandakan langkah baharu kerajaan ke arah mengukuhkan perlindungan dalam talian untuk golongan bawah umur, di samping menyelaras dasar tempatan dengan amalan antarabangsa. Bagaimanapun, perincian pelaksanaan masih di peringkat perbincangan dengan syarikat platform dan SKMM, termasuk aspek teknikal, perlindungan data serta pematuhan perundangan sebelum sebarang kewajipan baharu dikuatkuasakan













