Pada ketika ini tiada undang-undang berkaitan sistem pemanduan automatik di Malaysia. Namun dalam pada masa yang sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memaklumkan pemanduan lepas tangan adalah salah di sisi undang-undang.

Keadaan tersebut mungkin berubah tidak lama lagi menjelang kehadiran kereta pandu sendiri di Malaysia. Untuk itu, Kementerian Digital sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam merangka undang-undang untuk mengawalselia kenderaan berautonomi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan keperluan mewujudkan peraturan keselamatan untuk kenderaan-kenderaan tersebut beroperasi di Malaysia. Perbincangan dengan JPJ diadakan untuk membuat penilaian dan persediaan di masa hadapan untuk penggunaan teknologi tersebut.

Imej dari KKD

Tahun lalu, Kementerian Pengangkutan menyatakan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan kerangka undang-undang baharu untuk kenderaan pandu sendiri. Dalam pada masa yang sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan ia diperlukan dalam kemajuan teknologi semasa terutamanya melibatkan pengangkutan awam dan logistik.

Tinggalkan komentar