Kementerian Digital sedang membangunkan garis panduan berkaitan AI menerusi Jabatan Perlindungan Data Peribadi, menurut Menteri Gobind Singh Deo. Garis panduan ini dijangka dapat disiapkan menjelang awal 2026.

Ia akan meliputi Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data, dan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.

Tambah beliau lagi, garis panduan ini merupakan usaha kerajaan bagi membanteras penipuan dalam talian memandangkan penipuan masa kini melibatkan AI seperti video palsu asli (deepfake) dan pengklonan suara. Beliau turut menegaskan sekali lagi komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha mewujudkan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan bingkas.

Jabatan Digital Negara juga sedang membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam (GPAISA) bagi membantu jabatan dan agensi kerajaan menggunakan teknologi tersebut dengan selamat dan beretika berdasarkan hak asasi manusia.

Gobind turut menyatakan pihak kerajaan kini sedang melaksanakan program latihan dan peningkatan kapasiti seperti AI Untuk Rakyat dan MD Workforce. Program ini dijalankan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Menurut beliau, program latihan ini dapat meningkatkan kepakaran keselamatan siber dan AI di dalam jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam pada masa yang sama, CyberSecurity Malaysia bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan aplikasi berasaskan AI. Alatan ini boleh digunakan untuk mengesahkan ketulenan foto dan video, membolehkan ia digunakan untuk siasatan jenayah siber seperti kecurian identiti dan fitnal digital.

Tinggalkan komentar