Salah satu dari dua kemaskini besar Windows 10 pada tahun ini akan diluncur masuk ke peranti pengguna tidak berapa lama lagi. Ia juga secara rasminya dikenali sebagai Kemaskini Windows 10 May 2020 (sebelum ini dinamakan sebagai 20H1).
Pratonton binaan terbaru ini mula memasuki ke dalam program Windows Insider semalam. Menurut Brandon LeBlanc, Pengurus Produk Kanan produk berkata ini adalah pada peringkat akhir sebelum ianya bakal diterbitkan kepada orang ramai.
Ia mengandungi pembaikan masalah, termasuk masalah yang menyebabkan flash kamera belakang pada sesentengah peranti berkamera tidak berfungsi. Namun, beberapa masalah yang belum dibaiki dikatakan masih terdapat lagi pada binaan terbaru ini. Diharapkan tiada masalah besar akan timbul dari kemaskini ini.
Microsoft juga dilaporkan menemukan masalah pada set kepala MIxed Reality untuk kemaskini May 2020 nanti. Terdapat kemungkinan isu ini tidak akan sempat diselesaikan sebelum ianya diterbitkan kepada orang ramai.
Pada peringkat ini, kita perlu menantikan sekurang-kurangnya selama sebulan untuk menerima kemaskini May 2020 ini. Bagi anda yang sudah gatal untuk mencubanya, anda boleh mendapatkannya melalui Insider Program. Caranya adalah pergi ke Settings > Update & Security > Windows Insider Program dan kemudian klik pada butang ‘Get started’.
Kemaskini May 2020 bakal memperkenalkan penambahbaikan ke Windows Search, tab Perfomance di dalam Task Manager memaparkan maklumat jenis pemacu (contoh: SSD atau HDD dan tidak lagi dilabel sebagai ‘Disk 1’ dan ‘Disk 2’). Serta menambah maklumat pemantauan suhu GPU, pengubahsuaian tetapan untuk mempertingkat prestasi permainan komputer dan banyak lagi.













