Bagi anda yang menggunakan peranti bersistem operasi iOS dan masih lagi belum mengemaskini ke iOS 14.2, anda mungkin dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu kemaskini tersebut. Hal ini perlu diberi perhatian sewajarnya terutama sekali bagi pengguna peranti Apple lama.
Terdapat laporan yang menyebut kemaskini terbaru sistem operasi berkenaan menyebabkan ketirisan bateri yang teruk menerusi laman forum pembangun Apple dan juga di Reddit.
Sebahagian pengguna mellaporkan peranti masing-masing kehilangan sehingga 50% kuasa bateri dalam tempoh kurang dari 30 minit. Selain itu, terdapat juga pengguna yang mendapati bateri hanya berbaki 5% sahaja selepas beberapa minit penggunaan biasa.
Malahan, tempoh mengecas juga didapati mengambil masa yang lebih panjang dari biasa. Apa yang menghairankan, sesetengah pengguna melihat pengecasan bateri peranti menaik pula selepas melakukan restart.
Bagi kebanyakan kes-kes yang dilaporkan ini berlaku pada peranti-peranti lama, sebelum iPhone XS sehingga iPhone SE model pertama.
Buat masa ini tiada sebarang pengumuman terkini dikeluarkan oleh Apple mengenai versi kemaskini baharu yang akan diterbitkan bagi membaiki masalah ini. Terdahulu, Apple telah menerbitkan 14.2.1 dua minggu selepas iOS 14.2 diterbitkan yang hanya boleh didapati pada siri iPhone 12 sahaja, model yang langsung tidak terkesan akibat dari kemaskini berkenaan.













