Ciri Crash Detection merupakan salah satu tarikan utama siri iPhone 14 dan Apple Watch terkini. Ia secara automatik akan menghantar mesej kecemasan SOS jika mengesan penggunanya terlibat di dalam kemalangan yang membahayakan.

Untuk menguji tahap keberkesanan ciri ini, seorang pengguna ini dengan sengaja melakuakn eksperimen yang melibatkan pelanggaran kenderaan.

YouTuber TechRax dan pasukannya telah mengubahsuai sebuah kereta untuk membolehkan ia dikawal dari jarak jauh. Atas faktor keselamatan, hanya iPhone 14 Pro sahaja diletakkan pada tempat duduk penumpang hadapan di dalam kereta tersebut.

Ia dilakukan bagi melihat sama ada ciri Crash Detection pada iPhone 14 tersebut benar-benar boleh digunakan. Sejumlah percubaan telah dilakukan untuk melakukan pengujian ini yang menghasilkan dua pelanggaran yang “berjaya”.

Percubaan pertama berjaya mengaktifkan ciri tersebut dengan sedikit kelewatan. Tidak dapat dipastikan sama ada ia disebabkan rekaannya sendiri atau ralat yang Apple sendiri terlepas pandang.iPhone-14-crash-detection

Hal ini kerana video promosi yang ditunjukkan di dalam acara Apple Far Out menyatakan Crash Detection akan diaktifkan sebaik sahaja ia mengesan sebarang pelanggaran.

Untuk percubaan kedua pula, ciri Crash Detection dipicu dengan segera sambil mengeluarkan mengeluarkan bunyi amaran yang kuat apabila pemasa panggilan kecemasan SOS melepasi tempoh lima saat.

Panggilan ke nombor kecemasan yang didaftarkan dalam tempoh selepas 10 saat yang diperkenalkan pada iPhone 14 berkenaan bagaimanapun telah dimatikan bagi tujuan eksperimen ini.

Secara kesimpulannya, TechRax berjaya membuktikan ciri Crash Detection boleh berfungsi seperti yang sepatutnya pada iPhone 14 Pro.

Ujian ini bagaimanapun tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh anda atas faktor keselamatan. Anda tidak boleh meniru YouTuber ini kerana eksperimenya ini dilakukan di kawasan lapang yang terpencil bagi mengelakkan risiko nyawa pengguna di jalan raya. Membuat panggilan kecemasan SOS tanpa sebab juga adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab yang menyusahkan petugas-petugas kecemasan.

 

Tinggalkan komentar