Lebih dari 600 perkhidmatan dalam talian kerajaan Korea Selatan tergendala apabila kebakaran pusat data menjejaskan operasi. Kebakaran pada malam Jumaat di pusat data yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Sumber Maklumat Kebangsaan (National Information Resources Service, NIRS) Korea Selatan.

Media Korea Selatan melaporkan sekumpulan juruteknik sedang menggantikan bateri lithium-ion ketika kebakaran tercetus. Sebagaimana kebakaran yang berpunca daripada bateri, pasukan bomba berdepan kesukaran mengawal kebakaran yang melibatkan 234 bateri.

Sabtu lalu kerajaan Korea Selatan menggunakan blog yang dihoskan di perkhidmatan awanan tempatan Naver untuk membuat hantaran senarai nombor telefon yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk menghubungi jabatan dan kementerian. Kebakaran turut menjejaskan perkhidmatan email kerajaan.

Menjelang Ahad, akaun rasmi kerajaan di X telah mula berkongsikan khidmat nasihat cara-cara untuk mendapatkan akses perkhidmatan. Malam semalam Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Korea Selatan memaklumkan telah berjaya memulihkan 30 perkhidmatan, meninggalkan baki 617 masih belum pulih.

Insiden ini telah mencetuskan perdebatan di media sosial Korea Selatan tentang kebergantungan terhadap pusat data tunggal. Bagaimanapun, NIRS mempunyai pusat data kedua selain turut menggunakan VMware Cloud Foundation untuk membolehkan infrastruktur mayanya dipulihkan kembali pada kadar segera.

Tinggalkan komentar