Netflix perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi penyedia kandungan walaupun mendapat pengecualian lesen. Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam satu kenyataannya kepada pemberita.

Pada kebiasaannya, tindakan boleh dikenakan terhadap mana-mana penyedia perkhidmatan jika didapati menyalurkan kandungan-kandungan yang tidak sepatutnya di Malaysia.

Netflix kini sudah boleh dilanggan bagi pengguna-pengguna Malaysia, namun timbul kebimbangan pada sesetengah pihak mengenai tahap penapisan kandungan-kandungan yang disediakan akan mengganggu pengalaman tontonan melalui penyedia perkhidmatan kandungan atas talian ini.

Bagaimanapun, menurut jurucakapnya, tiada sebarang tapisan akan dilakukan terhadap mana-mana kandungan yang disediakan dan bagi sesetengah kandungan yang tidak dapat diakses, ia bergantung dengan lesen hak cipta terpelihara kandungan berkenaan.

Datuk Seri Salleh Said Keruak turut memaklumkan akan mengarahkan SKMM untuk bertemu dan memaklumkan garis-garis panduan yang perlu dipatuhi kepada pihak penyedia Netflix.

Berita Harian turut melaporkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan telah menyeru kepada pihak kerajaan agar lebih giat untuk memantau dan menapis kandungan-kandungan yang ditawarkan oleh Netflix.

-Sumber berita diperoleh dari The Malay Mail Online

Tinggalkan komentar