Rang undang-undang menyekat akses kanak-kanak bawah umur ke media sosial telah diluluskan parlimen Portugal pada Khamis baru-baru ini. Manakala bagi pengguna berusia 13 hingga 16 tahun pula memerlukan kebenaran ibu-bapa.
Parlimen membentangkan undang-undang ini sebagai langkah perlindungan kanak-kanak. Ia juga bagi mengurangkan risiko kemudaratan akibat penggunaan platform media sosial secara berlebihan dan tanpa pengawasan oleh golongan bawah umur.
Risiko yang dikenal pasti termasuk buli siber, keresahan, tingkah laku ketagihan, dan pelbagai masalah kesihatan mental lain yang dikaitkan dengan penggunaan media sosial.
Sekatan akses ini akan terpakai kepada rangkaian sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok. Bagaimanapun perkhidmatan pemesejan seperti WhatsApp dikecualikan.
Platform teknologi juga dikehendaki menjamin pengesahan umur yang berkesan selaras dengan peraturan Kesatuan Eropah. Turut diwajibkan perlindungan terhadap kandungan berbahaya.
Antara kandungan yang perlu disekat termasuk:
- Keganasan
- Bahan seksual awal
- Permainan bersifat ketagihan
- Video atau imej yang telah dimanipulasi
Pertentangan Politik
Rang undang-undang ini mendapat tentangan keras daripada parti sayap kanan-jauh Chega dan parti Liberal Initiative. Pemimpin Chega, Andre Ventura, mengecam rang undang-undang ini sebagai “Stalinisme digital” dan menuduh parti arus perdana cuba mengawal semula perbahasan awam dalam talian.
Menurut Andre Ventura, pemimpin parti Chega, undang-undang ini bukan mengenai kebebasan. Dakwanya, ia bertujuan mengawal minda dan masa depan. Ahli parlimen Chega juga membantah peruntukan yang akan membenarkan badan pentadbiran awam menggantung akses kepada perkhidmatan platform di seluruh negara.
Pihak Liberal Initiative pula berhujah undang-undang ini akan menjejaskan privasi dan mewujudkan pengawasan yang lebih meluas.
Langkah Portugal ini mengikuti inisiatif serupa di peringkat antarabangsa. Australia pada tahun lalu telah memperkenalkan larangan media sosial untuk golongan bawah 16 tahun. Manakala beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Sepanyol, Denmark dan Itali sedang mempertimbangkan atau melaksanakan langkah yang sama.
Parti Sosialis di Portugal telah mendesak supaya larangan penuh diperluaskan kepada golongan bawah 16 tahun.
Undang-undang semasa di Portugal menetapkan umur persetujuan digital pada 13 tahun. Rang undang-undang ini kini akan melalui proses penelitian terperinci di peringkat jawatankuasa sebelum dibawa ke undi akhir di parlimen.













