Satu kajian baharu diterbitkan oleh Harvard Business Review (HBR) mendedahkan realiti mengejutkan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja.
Kajian tersebut menunjukkan dapatan yang bertentangan dengan naratif popular AI akan membebaskan pekerja daripada tugasan remeh. Ia bukannya dapat meringkan kerja, malah meningkatkan intensiti beban kerja.
Dapatan tersebut juga menunjukkan pekerja kini menghabiskan lebih banyak masa untuk kerja AI tersebut. Antaranya mengurus, menyemak, dan membetulkan hasil kerja AI berbanding masa yang dijimatkan melalui automasi.
Kajian tersebut tidak selari dengan anggapan asas pengurusan moden mengenai automasi. Secara lazim, pihak pengurusan beranggapan proses kerja automatik dapat mengurangkan beban kerja manusia.
Fenomena yang dikaitkan dengan “Paradoks Jevons” dalam ekonomi ini menyaksikan peningkatan jangkaan daripada pihak pengurusan apabila tugasan menjadi lebih pantas diselesaikan. Akibatnya, pekerja tidak diberikan lebih masa untuk rehat. Malahan dibebani dengan jumlah tugasan yang lebih banyak, jadual yang lebih ketat, dan sasaran prestasi yang lebih tinggi.
Selain peningkatan volum kerja, kajian ini menonjolkan kewujudan “beban kerja tersembunyi” dalam menyelia AI. Setiap emel, laporan, atau keputusan yang dijana oleh AI memerlukan semakan teliti untuk memastikan ketepatan fakta, nada yang sesuai, dan bebas daripada “halusinasi” data. Beban kognitif baharu ini disifatkan lebih meletihkan berbanding melakukan tugasan asal secara manual.
Menurut laporan tersebut, pekerja menggambarkan situasi mereka seperti menjadi pemeriksa kawalan kualiti untuk “rakan sekerja” junior yang tidak boleh diharap. Bezanya, “rakan sekerja” ini sangat produktif dan tidak pernah tidur.
Dapatan utama lain Kajian
- Ilusi Produktiviti: Pengurus melihat peningkatan metrik output (seperti jumlah kod atau laporan) sebagai kejayaan, namun gagal melihat masa tambahan yang dihabiskan pekerja untuk membaiki ralat AI.
- Hakisan Kemahiran: Peralihan peranan pekerja daripada “pencipta” kepada “penyunting” berisiko membantutkan pembangunan kemahiran profesional, terutamanya bagi pekerja junior yang mungkin kehilangan peluang untuk belajar melalui proses pembuatan tugasan dari awal.
- Kelesuan Kognitif: Keperluan untuk sentiasa berwaspada menyemak hasil kerja mesin mengakibatkan beban mental yang unik dan memenatkan.
Kajian ini memberi mengingatkan organisasi agar tidak menganggap AI sebagai penyelesaian mudah untuk mengurangkan tenaga kerja.
Penggunaan AI yang bertanggungjawab memerlukan strategi yang mengambil kira masa tambahan untuk seliaan. Ia bukan sekadar mengejar angka produktiviti semata-mata. Kegagalan menguruskan realiti ini berisiko mengakibatkan “burnout” dalam kalangan pekerja bernilai dan menjejaskan kualiti jangka panjang.













