Menziarahi Kaabah boleh dilakukan di dalam metamesta, namun ia tidak dikira sebagai ibadah haji, menurut Lembaga Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet).
Perbincangan mengenai isu ini telah bermula sejak Disember tahun lalu. Kerajaan Arab Saudi telah membawakan imej maya tanah suci kota Mekah ke dalam acara metamesta sejak sebulan yang lalu. Ia bertujuan bagi membolehkan umat Islam melihat Kaabah dengan lebih dekat secara maya.
Acara metamesta berkenaan dikenali sebagai “Virtual Black Stone Initiative” yang turut membolehkan pengguna secara maya melihat Hajarul Aswad.
Isu ini dibincangkan selama lebih dari sebulan dan Diyanet telah memutuskan pada 1 Februari lalu bahawa ziarah ke Kaabah secara metamesta bukan satu ibadah yang sah.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haji dan Umrah Diyanet, Encik Remzi Bircan:
“Ini (ibadah haji dalam wadah metaverse) tidak boleh berlaku. Umat Islam boleh menziarahi Kaabah melalui metaverse tetapi ia tidak akan dianggap sebagai ibadah yang sah. Telapak kaki jemaah wajib menyentuh tanah (Kaabah).”
Dalam pada masa yang sama, beliau turut membandingkan usaha ini seakan-akan lawatan secara maya ke Muzium Arkeologi di Istanbul. Ia juga dilaksanakan lebih sebagai inisiatif pendidikan dan kefahaman kepada orang ramai.
Projek acara ini dijayakan oleh Jabatan Hal Ehwal Pameran dan Muzium Arab Saudi dengan kerjasama Universiti Umm Al-Qura, Mekah yang diilhamkan oleh Haramain.













