Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan penggantian percuma untuk cip MyKad yang rosak di seluruh negara bermula dari 23 September sehingga 7 Oktober 2025. Program ini diperkenalkan bersempena pelancaran inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Diumumkan oleh Perdana Menteri pagi tadi, inisiatif tersebut membolehkan rakyat Malaysia membeli petrol pada harga RM1.99 seliter bermula 27 September 2025. Pengesahan identiti boleh dibuat melalui MyKad pada terminal pembaca atau menerusi eKYC aplikasi yang disokong.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan langkah ini bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat terus menikmati subsidi bersasar. Beliau menjelaskan MyKad memainkan peranan penting dalam menyediakan akses ke skim seperti BUDI95.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan alat pembaca MyKad akan disediakan di kesemua stesen dan pam minyak bagi memudahkan urusan pembelian petrol bersubsidi.
Kerajaan menganggarkan proses penggantian percuma selama dua minggu ini melibatkan kos belanja keseluruhan kira-kira RM714,660. Menteri berkenaan mengesahkan kerajaan akan menangguh sepenuhnya kos tersebut bagi mengelakkan sebarang keciciran untuk mengakses subsidi BUDI95 disebabkan masalah teknikal pada MyKad.
Subsidi BUDI95 boleh dinikmati oleh seluruh warganegara Malaysia dengan lesen memandu kereta atau motor yang sah. Setiap individu layak untuk mendapatkan sehingga 300 liter petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter untuk setiap bulan. Pemilik kenderaan yang melebihi kuota perlu membayar pada harga pasaran yang kini sekitar RM2.60 seliter.
Dalam pada masa yang sama, kerajaan turut memastikan sokongan untuk pelbagai mekanisme disediakan untuk program BUDI95. Platform-platform lain seperti Touch ‘n Go eWallet dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel dan Shell disahkan akan diintegrasikan kemudian.