Apple dilaporkan sedang membuat persediaan untuk era pasca-Tim Cook, dengan ketua perkakasannya, John Ternus, muncul sebagai calon dalaman utama untuk menggantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Cook, yang akan mencecah usia 65 tahun bulan depan, telah memimpin Apple mencatat keuntungan rekod selama lebih sedekad. Namun beberapa siri persaraan eksekutif yang akan datang dijangka membentuk semula struktur kepimpinan Apple.
Menurut laporan Bloomberg, persediaan ini dibuat ketika Ketua Pegawai Operasi (COO) Jeff Williams, yang dilihat sebagai pengganti jelas sebelum ini, dilaporkan bersedia untuk meninggalkan syarikat. Ketiadaan Williams menyebabkan tiada calon nombor dua yang pasti untuk jawatan tersebut, sekali gus membuka laluan untuk Ternus.
John Ternus, 50, kini semakin menjadi tumpuan dan dianggap sebagai penghubung antara jurutera veteran Apple dengan generasi pemimpin yang lebih baharu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang dipercayai oleh Cook, terkenal dengan fokus dan kepakaran teknikalnya. Pengaruh Ternus juga dilaporkan telah berkembang melangkaui bidang perkakasan kepada strategi produk dan pemasaran.
Sebagai sebahagian daripada persediaan untuk peranan yang lebih besar, Apple dikatakan telah meningkatkan penampilan awam Ternus. Beliau telah dilihat dalam pelbagai acara, termasuk memperkenalkan produk seperti iPhone Air dan membuat kemunculan media.
Latar belakang kejuruteraan dan kepimpinannya ke atas produk teras Apple meletakkannya sebagai pengganti yang sesuai. Terutamanya ketika syarikat sedang giat meneroka bidang kecerdasan buatan (AI) dan realiti campuran (mixed reality).
Laporan itu juga menyatakan bahawa beberapa pemimpin kanan lain seperti Johny Srouji dan Lisa Jackson telah membincangkan rancangan persaraan. Manakala, bahagian AI Apple di bawah pimpinan John Giannandrea terus menghadapi cabaran.
Apa yang menarik, Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perisian, Craig Federighi, yang popular dalam kalangan peminat Apple, tidak disebut dalam laporan tersebut sebagai calon pengganti.
Laporan yang sama juga menjangkakan Tim Cookakan kekal dalam syarikat. Beliau dijangka akan memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga pengarah selepas beliau melepaskan jawatan CEO.













