Pengguna telefon pintar tentunya mahukan bateri peranti mereka dapat bertahan lebih lama penggunaannya dari apa yang ditawarkan sekarang. Jika tidak, masakan aksesori mudah alih seperti power bank semakin popular untuk digunakan sebagai bateri tambahan untuk peranti masing-masing.
Sebagai sebuah platform yang sentiasa berkembang, sistem operasi seperti Android, iOS dan Windows versi yang terkini lebih cekap penggunaan tenaganya jika dibandingkan dengan versi-versi yang terdahulu. Malah, bateri yang sedia ada pada peranti juga lebih besar kapasitinya sekitar 2000 mAh.
Sesetengah peranti turut dilengkapi dengan aplikasi penjimat bateri terbina dalam untuk memudahkan pengguna menguruskan penggunaan bateri seperti yang ditawarkan oleh Asus Zenfone melalui utiliti Power Saving. Selain dari aplikasi yang telah terbina dalam, Google Play turut menawarkan pelbagai jenis aplikasi penjimat bateri dari pelbagai pembangun sama ada yang percuma mahupun yang berbayar.
Bagaimanapun, anda boleh mengoptimumkan penggunaan tenaga bateri peranti anda tanpa perlu untuk memasang aplikasi-aplikasi tertentu dengan mengikuti panduan langkah penjimatan berikut;
Malapkan tahap kecerahan skrin paparan
Walaupun ianya bakal menjadikan peranti anda kelihatan sedikit suram, pengurangan kadar kecerahan dapat membantu menjimatkan penggunaan tenaga.
Sesetengah peranti pintar hari ini dilengkapi dengan ciri kecerahan automatik yang dapat memberikan kecerahan skrin berdasarkan keadaan pencahayaan sekelilingnya. Namun, jika anda ingin berjimat dengan cara yang lebih ekstrim, turunkan tahap sahaja kecerahan ke tahap paling minimum.
Singkatkan waktu paparan skrin
Di bawah menu tetapan paparan telefon pintar, terdapat pilihan tetapan yang dinamakan sebagai ‘Screen Timeout’ atau yang sewaktu dengannya. Melalui pilihan tetapan ini, pengguna diberi pilihan untuk menetapkan tempoh masa untuk skrin paparan menyala. Pada tetapan tersebut, tempoh minima yang boleh ditetapkan adalah 15 saat bagi peranti Android.
Matikan Bluetooth, Wi-Fi dan GPS
Jika anda tidak menggunakan aksesori-aksesori berkaitan yang menggunakan sambungan Bluetooth seperti set kepala tanpa wayar atau speaker tanpa wayar, pastikan Bluetooth anda dimatikan. Tenaga bateri telefon pintar anda sedang digunakan jika ia dibiarkan dibuka sepanjang masa walaupun ianya tidak bersambungan dengan peranti-peranti lain.
Sama seperti Bluetooth, sambungan Wi-Fi juga banyak menggunakan sumber tenaga bateri telefon pintar anda. Elakkan pembaziran tenaga dengan mematikan suis Wi-Fi jika anda berada di lokasi tiada sambungan Wi-Fi atau ketika anda meletakkan peranti anda dalam keadaan sedia.
Begitu juga dengan GPS, ia membuatkan anda lekas kehabisan tenaga bateri tanpa sedar jika ianya dibiarkan terbuka. Pastika ianya dihidupkan hanya ketika anda ingin menggunakan aplikasi pemetaan seperti Google Maps atau Nokia Here.
Hapuskan aplikasi yang sedang berjalan pada background
Aplikasi-aplikasi yang digunakan pada kebiasaannya sengaja dibiarkan ianya berjalan pada background. Ia bertujuan menjadikan aplikasi berkenaan lebih pantas dibuka semula apabila pengguna sudah menggunakan aplikasi-aplikasi lain, selain turut memudahkan kerja multitasking oleh pengguna.
Namun, kekurangannya adalah ia bakal menjadikan bateri telefon pintar anda akan cepat habis. Oleh yang demikian, anda boleh memilih untuk mematikan aplikasi tersebut secara terus dengan menekan pada butang multitasking untuk peranti Android atau menekan dua kali butang Home untuk peranti iOS.
Kurangkan penggunaan mod bergetar (vibrate)
Sesetengah pengguna lebih gemar meletakkan telefon pintar mereka di dalam mod bergetar untuk menjaga adab terutamanya ketika di dalam mesyuarat dan di tempat-tempat ibadat.
Sebagai makluman, penggunaan motor untuk menggetarkan telefon pintar adalah lebih besar jumlah tenaganya jika dibandingkan penggunaan speaker. Oleh itu, anda sebagai pengguna perlu bijak untuk meletakkan keperluan menggunakan mod-mod mengikut lokasi dan keadaan semasa.
Matikan notifikasi-notifikasi yang tidak penting
Sesetengah aplikasi hari ini kerap memberikan notifikasi-notifikasi pengguna untuk memaklumkan perkara-perkara seperti kemaskini aplikasi, mesej, berita dan maklumat-maklumat lain. Ada sesetengah notifikasi ini penting seperti mesej SMS, mesej Whatsapp dari keluarga atau kenalan dan sebagainya. Namun, tidak kurang juga yang memberikan notifikasi tidak begitu penting kepada pengguna seperti berapa jumlah ‘Like’ Facebook yang diterima pengguna atau sebagainya.
Bagi yang tidak mustahak, pengguna boleh memilih untuk mematikannya untuk menjimatkan bateri selain demi menjaga privasi pengguna.
Lain-lain petua penjimatan bateri telefon pintar
Lain-lain fungsi seperti penderia dan tetapan pada aplikasi-aplikasi tertentu mungkin tidak begitu banyak memberikan perubahan terhadap kadar penggunaan tenaga bateri telefon pintar anda.
Bagi anda yang memiliki cara-cara dan tips-tips lain berkenaan penjimatan tenaga bateri telefon pintar, anda boleh menulis pendapat dan saranan anda pada ruangan komen di bawah.














thanks for sharing the info ^^
http://bilaoreobercerita.blogspot.my/2015/10/starting-point.html