Jabatan Peperangan Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat kecerdasan buatan terkemuka, OpenAI. Ia bertujuan mengintegrasikan chatbot popular ChatGPT ke dalam platform GenAI.mil.

Inisiatif baharu ini akan memperluaskan akses teknologi model bahasa termaju kepada seluruh 3 juta kakitangan jabatan tersebut bagi tujuan operasi dan pentadbiran.

Langkah ini rentetan pelancaranGenAI.mil pada Disember lalu yang dikuasakan oleh Google Gemini. Menandakan komitmen serius AS dalam menjadikan ketenteraan sebagai entiti yang mengutamakan AI (AI-first enterprise).

Peningkatan Keupayaan Operasi dan Kesiapsiagaan

Integrasi ChatGPT ke dalam ekosistem ketenteraan AS bertujuan untuk memperkukuh pelaksanaan misi dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan angkatan tentera bersama.

Menurut kenyataan rasmi jabatan tersebut, penggunaan teknologi ini dijangka mempercepatkan tempo operasi serta menajamkan keunggulan dalam proses pembuatan keputusan oleh pengguna.

Platform GenAI.mil dilaporkan telah menunjukkan kebolehpercayaan yang tinggi dengan rekod masa operasi (uptime) 100 peratus sejak pelancarannya. Menjadikannya platform AI yang dipercayai di seluruh jabatan.

Kakitangan kini sedang dilatih untuk mengintegrasikan keupayaan AI ini ke dalam aliran kerja harian mereka.

Fokus Terhadap Masa Depan Peperangan

Setiausaha Peperangan, Pete Hegseth, menegaskan bahawa adaptasi teknologi ini adalah kritikal dalam menghadapi cabaran musuh yang semakin moden.

“Masa depan peperangan Amerika sudah tiba, dan ia dieja sebagai AI. Semasa teknologi berkembang maju, begitu juga musuh kita. Namun di sini, di Jabatan Peperangan, kita tidak hanya berpeluk tubuh,” kata Hegseth .

Beliau menambah bahawa platform ini meletakkan model AI frontier paling berkuasa di dunia secara terus ke tangan setiap “pahlawan Amerika”.

Strategi Pecutan Kecerdasan Buatan

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas di bawah Strategi Pecutan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence Acceleration Strategy) yang diumumkan pada Januari.

Strategi ini dirangka untuk menghapuskan halangan birokrasi lapuk. Ia juga bagi menerapkan keupayaan AI termaju merentasi setiap bidang misi, termasuk peperangan (warfighting), perisikan, dan operasi perusahaan.

Emil Michael, Setiausaha Rendah Peperangan untuk Penyelidikan dan Kejuruteraan, turut menekankan kepentingan kepantasan dalam era teknologi ini.

Ringkasan Fakta GenAI.mil

  • Rakan Teknologi: OpenAI (ChatGPT) dan Google (Gemini)
  • Sasaran Pengguna: 3 juta kakitangan Jabatan Peperangan (tentera dan awam)
  • Objektif: Meningkatkan efisiensi pentadbiran, produktiviti, dan keunggulan keputusan taktikal.

Inisiatif ini turut selari dengan fokus pentadbiran Presiden Donald Trump yang menjadikan AI sebagai keutamaan nasional dalam bersaing dengan kuasa besar lain seperti China.

Tinggalkan komentar