Apple pada beberapa hari yang lepas telah mengumumkan iPhone peringkat pemula, iPhone SE 2020. Sesetengah pihak merasakan iPhone keluaran terbaru ini mirip dengan iPhone 8 sungguhpun menggunakan cipset yang sama dengan iPhone 11.
Malah, ada yang sanggup membuka kerangka bagi melihat sejauh mana persamaannya dengan iPhone 8. Seorang pengguna dari China telah melakukan perkara sedemikian dan telah berkongsikan penemuannya menerusi rakaman video.
Pastinya, perbezaan paling ketara adalah penggunaan cipset A13 Bionic pada iPhone SE 2020. Namun, perakam video berkenaan menjelaskan apa yang beliau perhatikan adalah komponen dalaman iPhone SE kelihatan sama dengan iPhone 8.
Ini termasuk dengan saiz bateri (kedua-duanya 1,821 mAh), enjin haptik, modul kamera dan juga papan induk berserta antenanya. Ditambah lagi, panel paparan iPhone SE 2020 boleh disaling tukar dengan iPhone 8. Ini mungkin kerana spesifikasi komponennya yang “hampir sama”.
Bateri iPhone 8 juga hampir boleh menghidupkan iPhone SE, sungguhpun poin sambungan baterinya lebih sepadan dengan iPhone 11 yang lebih besar. Pembesar suara dan enjin haptik juga boleh berfungsi seperti biasa apabila disaling tukar ganti.
Serupa tapi tak sama
Bagaimanapun, tidak kesemua komponen boleh ditukar ganti. Kamera belakang tidak boleh berfungsi apabila ditukarkan. Namun, kamera hadapan boleh berfungsi apabila ditukar ganti.
Apa yang bagusnya, berdasarkan video ini adalah komponen-komponen SE yang mudah ditukar ganti ini memudahkan ianya untuk dibaiki. Ini bersesuaian dengan kategori iPhone ini yang ditetapkan sebagai “mampu milik” (harga iPhone SE 2020 di Malaysia adalah RM1,999). Justeru, mampu meningkatkan jangka hayat penggunaannya menerusi penyelenggaraan dan pembaikan.
Secara keseluruhannya, video ini menyatakan iPhone SE tidak memberikan banyak peningkatan dari iPhone 8, selain dari cipset A13. Perakam video ini juga turut meluahkan kekecewaannya kerana rasa macam “buka dua iPhone 8”.
iPhone SE telah pun disenaraikan di dalam laman web rasmi Apple Malaysia, namun masih lagi belum sedia untuk dijual di pasaran. Setakat ini masih belum ada lagi kenyataan mengenai tarikh jualannya di pasaran Malaysia.













